Bersempena dengan sambutan Bulan Integriti Nasional yang disambut pada bulan November setiap tahun, Yayasan Pahang dengan kerjasama Institut Integriti Malaysia (IIM), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang dan Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP) telah mengadakan Sambutan Bulan Integriti Peringkat Negeri Pahang 2022 pada hari ini, 30 November 2022.

Program yang berlangsung di Kompleks Yayasan Pahang, Kuantan ini telah dihadiri hampir 200 orang peserta yang mewakili semua jabatan dan agensi di seluruh negeri Pahang termasuk anak-anak syarikat Kerajaan Negeri Pahang.

Majlis telah dirasmikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang (Pengurusan), YH Dato’ Dr. Mohd Zakaria Bin Ibrahim yang mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang. Turut bersama dalam majlis sambutan ini juga adalah Ketua Pegawai Eksekutif IIM, YBhg. Datuk Wan Suraya Binti Wan Mohd Radzi dan Naib Canselor Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP), YH Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ahmad Bin Haji Zainuddin.

Antara pengisian utama program ini adalah Forum Pemerkasaan Integriti bertajuk “Pahang Berintegriti, Masyarakat Sejahtera”. Ahli Panel terdiri daripada YBhg. Tan Sri Mohd. Sidek Bin Hassan, Mantan Ketua Setiausaha Negara; YBhg. Dato’ Sri Akhbar Bin Abdul Satar, Ahli Lembaga Pengarah IIM dan Puan Nuridzuana Binti Ismail, Ketua Integriti dan Tadbir Urus Maxis Berhad.

Dalam majlis ini turut diadakan sesi pertukaran Memorandum Persefahaman (MOU) antara IIM dan UCYP yang merupakan inisiatif kerjasama strategik terbaharu IIM bersama institusi pengajian tinggi.

Pada sebelah petang pula program sambutan telah diisi dengan sesi Ceramah Pengukuhan Integriti Mahasiswa UCYP dengan kehadiran seramai 100 orang peserta yang meliputi pelajar-pelajar UCYP dari pelbagai bidang. Ceramah telah disampaikan oleh Puan Zarina Binti Mohamad Amin, Konsultan Kanan, Seksyen Latihan, IIM.