Bersempena dengan setahun pelaksanaan GST yang berkuat kuasa mulai 1 April 2015, INTEGRITI telah menganjurkan Persidangan Meja Bulat (RTD)atas tajuk “Integriti Para Peniaga Selepas Setahun Pelaksanaan GST” menampilkan Ahli-Ahli Panel seperti berikut:-
- Encik Tan Sim Kiat ,Pengarah Bahagian GST, Jabatan Kastam Diraja Malaysia
- En Saravanan Thambirajah, Pengarah Komunikasi, Penyelasaian Pertikaian dan Mobilisasi Sumber, Federation of Malaysian Consumers Associations (FOMCA)
- Encik Abdul Mohsein bin Mohd Shariff, Setiausaha Agung, Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM)
Sehingga kini terdapat sebanyak 409,843 syarikat yang berdaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan jumlah kutipan GST sepanjang 9 bulan tahun 2015 ialah sebanyak RM27 billion iaitu menyumbang kepada 12% hasil negara. Pada tahun 2016, jumlah kutipan yang dianggarkan ialah sebanyak RM39 billion. Salah satu daripada masalah integriti yang paling ketara dalam kalangan warga peniaga ialah selain dari gagal untuk mendaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia ialah terdapat sebilangan peniaga menutup perniagaan mereka yang telah dikenal pasti sebagai layak untuk berdaftar kerana jumlah threshold tahunan melebihi RM500 ribu setahun dan membuka semula perniagaan pada skala kecil dan sekaligus tidak perlu berdaftar di bawah GST. Satu lagi isu integriti yang ketara ialah penghantaran tuntutan bayaran balik input tax yang menurut Jabatan Kastam Diraja Malaysia terdapat RM1 billion tuntutan bayaran balik yang masih ditahan kerana terdapat butir-butir tuntutan yang meragukan. Terdapat juga para peniaga yang telah mengutip GST tetapi telah gagal menyerahkan hasil kutipan mereka kepada kerajaan dalam tempoh yang ditetapkan.Sehingga kini sejak dari pelaksanaan GST sebanyak 32 kes telah dibawa ke Mahkamah di bawah beberapa kesalahan di bawah Seksyen 33,41,183 dan 184, Akta Cukai Barangan & Perkhidmatan 2014 di mana satu kes pesalah telah dikenakan penjara sehari dan denda dan lain-lain di denda dengan jumlah denda terkumpul sebanyak RM260,694.75.
Di pihak pengguna pula, terdapat banyak aduan bahawa terdapat kenaikan harga barang termasuk barang-barang yang diiktiraf sebagai “zero-rated” iaitu yang dikecualikan dari GST dan ini amat membebankan para pengguna .Sementara itu, wakil DPIM yang mewakili komuniti peniaga pula mengatakan bahawa masih ramai ahli mereka yang masih tidak faham tentang barang-barang yang dikecualikan GST dan sesi penerangan berterusan perlu diberikan oleh pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi mempertingkatkan tahap kefahaman ahli-ahli mereka.Mereka juga mengatakan bahawa mereka perlu menaikan harga kerana mereka perlu melabur membeli software khas GST di samping bagi peniaga yang tiada kemahiran IT pula mereka perlu menggaji seorang kakitangan tambahan bagi mengendalikan sistem GST itu termasuk menyediakan laporan bulanan bagi penghantarannya kepada kastam.
Rumusannya, sesi RTD ini amat bermakna bagi mendapatkan input tentang langkah-langkah yang perlu diambil bagi mempertingkatkan tahap integriti para peniaga di negara ini ekoran pelaksanaan GST di mana Malaysia adalah negara yang ke 170 daripada 196 negara yang terdapat di dunia yang mula memperkenalkalkan GST.