[:my]KANGAR, 30 Januari 2018: Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) mengambil pendekatan turun padang dengan menganjurkan program Roadshow INTEGRITI, yang melibatkan kesemua negeri bagi membantu kerajaan-kerajaan negeri mengadakan program pemupukan integriti yang berimpak tinggi.

Negeri Perlis merupakan persinggahan yang kelima sejak program Roadshow INTEGRITI dilancarkan pada bulan Ogos 2017. Roadshow INTEGRITI telah diadakan di Selangor, Sarawak, Pulau Pinang dan Johor pada tahun lalu. Program ini juga akan diadakan di negeri-negeri lain. Negeri Perlis merupakan negeri pertama pada tahun ini.

Roadshow INTEGRITI merupakan salah satu mekanisme INTEGRITI untuk membantu kerajaan-kerajaan negeri menjayakan agenda pembudayaan, penghayatan dan pengukuhan integriti selaras dengan Pelan Integriti Nasional (PIN), di mana ia dapat memberi gambaran jelas dalam perencanaan program atau aktiviti integriti agar lebih tersusun, terarah dan sistematik serta meninggalkan kesan dan impak yang menyeluruh ke atas kumpulan sasaran.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif INTEGRITI, YBhg Datuk Dr Anis Yusal Yusoff berkata, dalam usaha membudayakan agenda integriti, INTEGRITI mengadakan Roadshow INTEGRITI bagi berkongsi maklumat mengenai program-program integriti dan kaedah-kaedah baharu bagi tujuan pemupukan budaya berintegriti tinggi.
Program Roadshow INTEGRITI peringkat Negeri Perlis diadakan dengan kerjasama Pejabat Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis dan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs).

Majlis Perasmian Penutup disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis.

Sempena program hari ini, INTEGRITI dan KUIPs menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk membentuk kerjasama dalam bidang-bidang yang berkaitan usaha pemupukan agenda integriti.

Menerusi Roadshow INTEGRITI segala maklumat berkaitan isu integriti di peringkat negeri akan dimuat naik dalam sistem yang dinamakan sebagai “Dashboard INTEGRITI”, yang merupakan satu paparan dalam bentuk pembangunan analisa yang berinformatif dan interaktif. Pada masa yang sama, INTEGRITI memperkenalkan produk dan instrumen yang telah dibangunkan oleh INTEGRITI iaitu Instrumen Penilaian Integriti (IAT), Profil Integriti Malaysia (MIP), Pelan Integriti Organisasi (PIO) dan Pembangunan Integriti Bersama Komuniti (PIBK). Modul Integriti Prasekolah (MIPs) yang dilancarkan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Dr Ahmad Zahidi Hamidi pada 16 Januari 2018 juga dipamerkan.

YBhg Datuk Dr Anis Yusal yakin Roadshow INTEGRITI akan memperlihatkan dengan lebih jelas tentang isu-isu yang ada atau wujud di negeri masing-masing yang melibatkan integriti. Malah dengan maklumat yang ada, pihak-pihak berkaitan dapat mencari penyelesaian terbaik untuk meningkatkan tahap integriti di negeri masing-masing.
INTEGRITI menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail kerana sudi mencemar duli menyempurnakan majlis penutup program hari ini.

“INTEGRITI juga mengucapakn terima kasih kepada semua agensi yang terlibat Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Kolej Universiti Islam Perlis, khususnya Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, YBrs. Dr. Mohd Mizan bin Mohammad Aslam.

“INTEGRITI menghargai sokongan yang diperlihatkan oleh kerajaan-kerajaan negeri dalam memperkukuh budaya berintegriti tinggi. Penganjuran bersama Roadshow INTEGRITI adalah satu contoh. Justeru kami mengalu-alukan pandangan dan cadangan bernas yang berterusan daripada semua pihak,” kata beliau .

Malah menurut beliau, Roadshow INTEGRITI merupakan pendekatan “komunikasi dua hala” kerana bukan sahaja mengenal pasti isu-isu integriti dan mencari jalan penyelesaian di setiap negeri, yang berbeza dari segi sifat dan keunikan tersendiri, malah satu platform penting untuk memperkukuhkan usaha mencapai sasaran PIN.

Sempena program Roadshow INTEGRITI hari ini YBhg Datuk Dr Anis Yusal dan warga kerja INTEGRITI menyertai acara berkayuh basikal bersama Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

 

 

 

 

 

[:]