[:my]RESOLUSI
SEMINAR KEBANGSAAN
PEMUPUKAN INTEGRITI DALAM PENDIDIKAN
Seminar Kebangsaan bertajuk “Pemupukan Integriti Dalam Pendidikan” yang diadakan pada 11 Oktober 2018 di Auditorium INTEGRITI dihadiri oleh pegawai kerajaan dan pemegang-pemegang taruh yang lain telah berbincang dan mengemukakan resolusi-resolusi berikut :
KEPIMPINAN DAN TADBIR URUS
- Mewujudkan indikator untuk menilai integriti pemimpin serta staf jabatan dalam pentadbiran secara telus dan berintegriti serta, menjalankan penguatkuasaan yang lebih tekal dan telus terhadap salah laku penjawat awam di semua peringkat organisasi.
- Memperkasakan pelaksanaan sistem sedia ada mengenai pemberian kontrak/tender supaya ia benar-benar telus dan sistematik.
- Menyemak semula dasar lantikan kepimpinan tertinggi di setiap peringkat tanpa campur tangan politik.
- Mengadakan latihan berkala kepada pemimpin yang telah berkhidmat bagi memantapkan nilai integriti dalam pengurusan sesuai dengan keadaan semasa.
- Mewujudkan penggiliran jawatan pentadbiran di peringkat universiti seperti Pendaftar, Bendahari, Pustakawan dan Pengarah.
PENGAJARAN, PEMBELAJARAN & PENYELIAAN
- Memperkenalkan elemen integriti dalam pembentukan negara bangsa yang merangkumi semua bangsa dan agama di semua peringkat pendidikan seperti kursus Hubungan Etnik.
- Mewujudkan indikator penilaian integriti dalam pengajaran serta pembelajaran sebagai refleksi diri dan bukannya untuk mendapat ganjaran.
- Mewajibkan pematuhan peraturan Perintah Am dalam kalangan pendidik yang melibatkan kandungan pengajaran dan pembelajaran.
- Memperkasakan pemantauan dan penguatkuasaan dalam pengajaran serta pembelajaran di semua peringkat.
- Menggantikan pelaksanaan dan penyediaan buku rancangan mengajar dan fail rekod tenaga pengajar kepada atas talian supaya pemantauan dari aspek integriti mudah dilaksanakan dengan mengambil kira cakupan capaian.
PROFESIONALISME KEGURUAN/PENDIDIK
- Membudayakan nilai integriti dalam kalangan pendidik dengan mewujudkan piagam integriti khusus untuk pendidik.
- Menguatkuasakan dengan tegas dan efektif tindakan terhadap pendidik yang melanggar peraturan/etika yang menjejaskan imej perkhidmatan pendidikan.
- Meningkatkan jalinan strategik antara KPM dengan agensi bukan kerajaan dan badan antarabangsa bagi meningkatkan lagi profesionalisme.
- Merekayasa keunggulan profesionalisme, profesion dan profesional yang berintegriti melalui sistem latihan profesional berterusan (CPD) yang berasaskan profesionalisme keguruan.
- Melaksanakan kajian ilmiah yang berimpak tinggi tentang integriti dalam kalangan warga pendidik.
11 Oktober 2018
Institut Integriti Malaysia, Kuala Lumpur[:]