Pembentangan laporan akhir tentang keberkesanan pelaksanaan Program Rintis Pembangunan Integriti Bersama Komuniti (CIB) IIM telah disempurnakan oleh Datuk KPE IIM kepada YB Datuk Dr Juanda Jaya, Timbalan Menteri Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS) pada hari ini, 2 Disember 2022.

Turut hadir Tn Hj Adana Hj Jed, Pengarah UNIONS serta Pegawai- Pegawai di empat (4) PBT yang terlibat iaitu Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Majlis Daerah Limbang (MDL) dan Majlis Daerah Matu dan Dato (MDMD).

Program Rintis CIB IIM telah dilaksanakan di Sarawak sejak bulan Julai hingga bulan November 2022.

Pembentangan laporan Program Rintis ini menfokuskan kepada keberhasilan kolaborasi secara bersama antara IIM dengan pihak UNIONS yang turut melibatkan pembekal perkhidmatan (Kontraktor dan Pegawai Awam) dan penerima perkhidmatan (Penduduk). Antara lain program ini melihat sejauh mana (penyampaian perkhidmatan PBT), kepantasan Pembekal Perkhidmatan dalam mengambil tindakan bagi menyelesaikan isu atau aduan (Fix Rate) yang dibangkitkan dalam tempoh yang telah ditetapkan dalam Service Licensing Agreement (SLA).

Selain itu, Kajian Persepsi Integriti dan Kepercayaan Awam juga telah dibangunkan oleh IIM bagi menilai dan mengukur secara keseluruhan indikator integriti pembekal perkhidmatan seramai 145 responden (39 Kontraktor dan 106 Pegawai PBT) dalam aspek ketelusan, akauntabiliti, penglibatan, penyampaian perkhidmatan dan tadbir urus baik sebelum dan selepas program CIB dilaksanakan di 4 PBT yang terlibat.

Kerajaan Negeri Sarawak melalui UNIONS hari ini secara prinsipnya berpuas hati dan bersetuju untuk memperluaskan program CIB IIM ini kepada seluruh negeri Sarawak mulai tahun 2023 yang akan melibatkan 12 Bahagian dan 26 PBT. Bagi tujuan tersebut, IIM telah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan latihan Training for Trainers (ToT) bagi pegawai PBT yang terlibat serta membantu membangunkan program pemantauan dan naziran.

Selain itu, lebih banyak program pendidikan dan kesedaran integriti kepada komuniti akan dibangunkan melalui pendekatan CIB amnya.