Institut Integriti Malaysia (IIM) telah mengadakan Program Induksi Sesi 2021/2022 pada 1 April 2022 bagi pegawai lantikan baharu pengambilan lantikan tetap bermula November 2021. Program ini telah diadakan di Dewan Murni, IIM dan dihadiri seramai tujuh orang pegawai daripada pelbagai kumpulan perkhidmatan dan seksyen.
Program ini telah dirasmikan oleh YBhg. Datuk Wan Suraya binti Wan Mohd Radzi, Ketua Pegawai Eksekutif, IIM.
Didalam ucapan beliau, warga baharu IIM dinasihati agar sentiasa mengamalkan sifat integriti dalam melaksanakan tugas-tugas masing-masing serta dalam kehidupan mereka. Beliau juga meminta peserta melakukan anjakan paradigma bagi bersama-sama IIM membangunkan agenda integriti nasional.
Seterusnya, pengisian program telah disampaikan oleh Ketua-Ketua Seksyen dari Bahagian Khidmat Korporat serta Pegawai Undang-Undang IIM secara bersemuka mengikut kesesuaian topik penerangan.
Di dalam program kursus ini, peserta diterangkan tentang latar belakang IIM, tugas dan fungsi bahagian/seksyen di dalam IIM dan carta organisasi. Para peserta juga diterangkan berkenaan Terma dan Syarat Perkhidmatan Pegawai IIM, Peraturan Kewangan, Pentadbiran dan Teknologi Maklumat.
Para peserta juga telah mengangkat ikrar Integriti sebagai tanda komitmen mereka untuk melaksanakan tugas dengan penuh amanah dan berintegriti.
Diharap dengan adanya program ini, para peserta dapat lebih mengenali IIM dan menanam rasa kecintaan kepada organisasi seterusnya merealisasikan matlamat organisasi. Semoga para peserta dapat meningkatkan lagi prestasi dan produktiviti di dalam kehidupan dan pekerjaan.


