Institut Integriti Malaysia (IIM) telah menganjurkan Program Breakfast Talk: “Malaysia Madani: Pembangunan Komuniti Berintegriti” pada 26 Oktober 2023 membincangkan pelaksanaan program Community Integrity Building (CIB).

Program yang diadakan secara eksklusif ini telah dihadiri oleh wakil dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan.

YBhg. Datuk Nor Yahati Awang, Ketua Pegawai Eksekutif IIM dalam ucapan aluannya, menjelaskan bahawa CIB ialah sebuah pendekatan berteraskan konteks tempatan bagi membantu mengenal pasti dan melaksanakan kaedah penyelesaian yang bersesuaian dan berdaya maju bagi meningkatkan pembudayaan dan amalan integriti dalam aspek kualiti penyampaian infrastruktur dan perkhidmatan awam khususnya yang merangkumi bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Pelaksanaan CIB ini terbukti mendatangkan hasil yang positif seperti mana yang dikongsikan oleh YB Dato’ Murshid DiRaja Dr. Juanda Jaya, Timbalan Menteri, Jabatan Premier Sarawak, selaku penalis program ini. Menurut YB Dato’ Juanda, negeri Sarawak telah melaksanakan program rintis CIB pada tahun 2022 di empat (4) residensi terpilih di Sarawak iaitu di Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Majlis Daerah Limbang (MDL) dan Majlis Daerah Matu-Daro (MDMD).

Menurut beliau lagi, sebagai contoh bagi kalangan penduduk setempat, program CIB ini dilebarluaskan dalam usaha meningkatkan kesedaran dari segi tanggungjawab, pengetahuan dan ambil peduli dengan isu-isu seperti Sampah, Longkang & Rumput (SLR), perparitan, kenderaan terbiar, jalan raya dan landskap di kawasan kediaman rumah mereka.

Manakala bagi pegawai awam pula (PBT), integriti dapat dipertingkatkan dengan pelaksanaan sistem penyampaian kualiti perkhidmatan berpandukan kepada pengurusan mekanisma tadbir urus yang baik dan berintegriti serta memahami isu-isu yang dihadapi oleh rakyat.

Bagi penyedia atau pembekal perkhidmatan, integriti dapat dipertingkatkan dengan memahami peranan mereka menyelesaikan isu atau aduan mengikut perjanjian penyelenggaraan atau Service License Aggrement seperti yang dijanjikan.

Kejayaan program rintis di empat PBT ini telah diperluaskan kepada seluruh pihak berkuasa tempatan yang ada di Negeri Sarawak serta diharap menjadi contoh kepada kerajaan negeri lain dan diperkembangkan kepada kawasan-kawasan PBT lain di seluruh Malaysia.

Pandangan YB Dato’ Juanda ini turut diperkukuh oleh pengalaman yang dikongsikan oleh YBhg. Datuk Bandar Subang Jaya, Tn Haji Mohd Fauzi bin Haji Mohd. Yatim. Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) adalah antara PBT yang terawal melaksanakan CIB iaitu pada tahun 2016. Menurut beliau, program CIB ini telah menjadi “Mata dan Telinga” kepada perkhidmatan PBT menerusi penyedia perkhidmatan yang dilantik.

Tn. Haji Fauzi turut berkongsi bahawa MBSJ adalah diantara PBT yang menerima kadar aduan yang tertinggi dalam negeri Selangor dan CIB telah menjadi salah satu platform tambahan kepada sistem penyelesaian aduan sedia ada di MBSJ.

Menurut beliau lagi, CIB boleh digunakan untuk rakyat meluahkan rungutan mereka dan menjadi kayu pengukur bagi menilai prestasi penyedia perkhidmatan kepada orang ramai, dengan mengubah penekanan daripada menganggap aduan tentang perkhidmatan yang kurang memuaskan sebagai suatu yang negatif kepada melihat aduan sebagai satu bentuk komunikasi dan maklum balas yang penting agar dapat diselesaikan dan dilaksanakan dengan penuh berkesan.

YBrs. Encik Mohd Salihin bin Othman, Ahli Lembaga Pengarah IIM sebagai penalis ketiga pula menjelaskan bahawa CIB berupaya mengurangkan kadar ketirisan dalam bentuk pembaziran, penyelewengan, pelanggaran integriti, rasuah dan kelemahan tadbir urus mana-mana PBT. Ini secara langsung akan mewujudkan ekosistem integriti yang terbaik yang hasilnya dapat dirasai oleh penduduk setempat.

Moderator bagi program ini adalah Encik Mohd Rais Ramli, Ketua Seksyen Sistem Integriti Korporat Malaysia (CISM).