KUALA LUMPUR, 15 November 2017: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV, Sultan Muhammad V telah memperkenankan pelantikan YBhg Datuk Dr Anis Yusal Yusoff, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) sebagai Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).

Tempoh pelantikan YBhg Datuk Dr Anis adalah bagi satu tempoh selama tiga tahun bermula 1 November 2017.

YBhg Datuk Dr Anis Yusal sebelum dilantik sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif INTEGRITI, telah terlebih dahulu dilantik sebagai salah seorang Pesuruhjaya EAIC pada penggal yang lalu, bermula dari 14 Oktober 2014 lagi.

Pelantikan kali kedua ini, khususnya sebagai Timbalan Pengerusi EAIC adalah satu penghormatan dan amanah yang amat besar kepada YBhg Datuk Dr Anis Yusal.

Ketika ditanya pemberita, beliau menzahirkan ucapan menjunjung kasih kepada DYMM Tuanku atas kepercayaan yang amat tinggi oleh pihak kerajaan dan negara kepada beliau.

Beliau berjanji akan melaksanakan amanah negara ini sebaik yang mampu dan akan membantu Pengerusi EAIC yang baharu dalam melaksanakan tugas.

“Pada masa yang sama, saya mengharapkan kerjasama dan sokongan semua pihak bagi membolehkan EAIC menunaikan fungsinya dan amanah yang diletakkan dengan efektif,” kata beliau lagi.

YBhg Datuk Dr Anis Yusal pada waktu ini adalah Presiden dan dan Ketua Pegawai Eksekutif INTEGRITI iaitu sejak Jun 2015. Sebelum itu beliau adalah Felo Penyelidik Utama di Institut Kajian Etnik (KITA), UKM. YBhg Datuk Dr Anis Yusal pernah bertugas lebih 10 tahun sebagai Asisten Wakil Tetap di UNDP Malaysia dan Programme Specialist di United Nations Volunteers (UNV) di Bonn, Germany.