Perancangan dan pelaksanaan dasar serta program Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) bagi tahun 2015 dilabuhkan tirainya dengan berlangsungnya mesyuarat Lembaga Pengarah INTEGRITI pada 1 Disember yang lalu di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. Mesyuarat berkenaan turut menjadi titik mula kepada perancangan kerja 2016 bagi semua warga kerja INTEGRITI yang pastinya menjanjikan 1001 cabaran dan dugaan.
Perbincangan berfokus kepada status pelaksanaan kerja INTEGRITI 2015-2020 di peringkat organisasi, nasional dan antarabangsa. Dibentangkan juga status pencapaian kerja INTEGRITI bagi suku keempat 2015.
Pembentangan tersebut disampaikan sendiri oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Anis Yusal Yusoff kepada ahli-ahli Lembaga Pengarah yang hadir; Tan Sri Dr. Ali Hamsa, Datuk Ranjit Ajit Singh, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Ahmad Bajunid dan Dr. Chandra Muzaffar.
Antara kerja-kerja dan program yang telah dilaksanakan oleh INTEGRITI di peringkat nasional ialah memorandum persetujuan (MoA) antara INTEGRITI dengan MIMOS, pelancaran Malaysian Integrity Profiling (MIP), Bicara Integriti sempena Hari Integriti Nasional, Konvensyen Integriti Nasional 2015 dan anugerah khas Integriti.
Sementara itu, INTEGRITI turut menyertai beberapa program antarabangsa seperti 2nd Apec Workshop On Developing RIA Guidelines As An Anti Corruption Tool di Bangkok Thailand, Global Integrity Summit di Brisbane, Australia dan International Leadership Simposium On Ethics in Business di European Parlimen di Brussels, Belgium. Di samping itu, INTEGRITI juga meluaskan rangkaian di peringkat antarabangsa menerusi beberapa mesyuarat, misalnya dengan Integrity Action di London dan Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) di Paris.
Selain itu, mesyuarat juga membincangkan kaedah untuk menyebarluaskan agenda membudayakan integriti melalui media sosial dan media perdana. INTEGRITI juga sedang dalam usaha melipat gandakan program melalui saluran digital.