[:my]SHAH ALAM, 28 Ogos 2018 – Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor beserta sokongan Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) menganjurkan Konvensyen Integriti PKNS Kali Kelima di sini, hari ini.

Konvensyen kali ini bertemakan “Pemerkasaan Integriti dan Tadbir Urus Korporat Terbaik”.

Menyedari akan kepentingan tadbir urus korporat yang baik dan tentunya pemerkasaan nilai integriti dalam diri, konvensyen kali ini menampilkan ahli-ahli panel tersohor yang berpengalaman luas di dalam bidang berkaitan integriti, rasuah dan tadbir urus korporat.

Konvensyen ini dirasmikan oleh Pegawai Kewangan Negeri Selangor, Ybhg. Datuk Nor Azmie Diron.

Dalam ucaptamanya beliau berkata, inisiatif yang diambil PKNS merupakan langkah yang baik kerana boleh menjadi inspirasi buat semua warga kerja untuk mengamalkan integriti.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datin Paduka Dr Noraida Mohd Yusof berkata, “isu integriti seperti rasuah, penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan sebagainya bukan satu isu baharu.”

“Setiap syarikat mahupun organisasi besar atau kecil berisiko terlibat dalam kesalahan berkaitan dengan integriti.”

Oleh itu menurut beliau, konvensyen diadakan bagi menyebar luas capaian perkongsian dan kesedaran kepada masyarakat.

“Sekecil-kecil ketirisan sekali pun mampu melumpuhkan kekuatan sebuah negara,” kata beliau.

Dalam pada itu, forum pertama menyaksikan perkongsian idea oleh Presiden Transparency International-Malaysia (TI-M), YBhg. Dato’ Akhbar Satar dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), YBhg. Dato’ Shamshun Baharin Mohd Jamil.

Ia disusuli dengan forum kedua yang menampilkan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, YBhg. Datuk Seri Mustafar Ali; Ketua Bahagian Integriti dan Pengurusan Risiko PETRONAS, Nurirdzuana Ismail dan Pengurus Integriti & Risiko PKNS, S. Normalis Abd Samad.

Konvensyen yang dihadiri oleh seramai 400 penjawat awam dan swasta dari pelbagai latar belakang ini turut menampilkan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

 

 

 [:]