Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) dengan kerjasama Institut Integriti Malaysia (IIM) sedang menganjurkan Persidangan Penyelidikan: Governans, Integriti Dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan pada 23-24 Mac 2022 di Sepang.

Majlis Pelancaran telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Sri Mohd Shafiq bin Abdullah, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia bagi pihak Ketua Setiausaha Negara, YBhg Tan Sri Mohd Zuki bin Ali. Turut hadir ialah YBhg. Datuk Seri Mohd Sallehhuddin bin Hassan, Ketua Pengarah, GIACC dan YBhg. Datuk Wan Suraya, Ketua Pegawai Eksekutif IIM.

Seramai 137 orang peserta hadir terdiri dari Ketua Setiausaha dan Ketua jabatan agensi awam, wakil-wakil dari pelbagai agensi Persekutuan, Kerajaan Negeri, Badan Berkanun, Pihak Berkuasa Tempatan, Institusi Pengajian Tinggi (IPT), Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan persatuan belia. Selain daripada peserta yang hadir secara fizikal, persidangan ini juga turut diikuti hampir 207 orang peserta secara maya.

Persidangan ini dianjurkan sebagai platform untuk berkongsi dapatan penyelidikan dalam konteks governans, integriti dan antirasuah. Ia juga bertujuan untuk membincangkan isu-isu semasa berkaitan risiko rasuah, pelanggaran integriti dan kelemahan governans untuk penambahbaikan.

Penyelidikan yang telah dijalankan selama 2 tahun (2020-2021) ini memfokuskan kepada pengenalpastian risiko-risiko rasuah serta kelemahan tadbir urus, merangkumi pelbagai bidang dan sektor iaitu pengurusan kesihatan, perhutanan, kreatif media, telekomunikasi, pentadbiran tanah, hal ehwal orang asli, pertahanan serta pengurusan risiko rasuah institusi mahkamah syariah, wakaf, zakat dan masjid di negara ini.