INDEKS PERSEPSI RASUAH 2021

Indeks Persepsi Rasuah adalah laporan kajian yang dilaksanakan oleh Transparency International yang merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) bertaraf antarabangsa. Indeks ini atau lebih dikenali dengan singkatannya iaitu CPI (Corruption Perception Index) adalah tertumpu kepada persepsi responden berikutan pengalaman mereka dalam berurusan dengan sektor awam sebuah Negara.

CPI ini mengambil kira gabungan beberapa data kajian yang dilaksanakan berdasarkan tiga belas (13) sumber yang berbeza. CPI 2021, Malaysia mengambil kira 9 kajian: (1) Bertelsmann Stiftung Transformation Index 2020; (2) Economist Intelligence Unit Country Risk Service 2019; (3) Global Insight Country Risk Ratings 2019; (4) IMD World Competitiveness Center World Competitiveness Yearbook Executive Opinion Survey 2020; (5) Political and Economic Risk Consultancy Asian Intelligence 2020; (6) The PRS Group International Country Risk Guide 2019; (7) World Economic Forum Executive Opinion Survey 2019; (8) World Justice Project Rule of Law Index Expert Survey 2020; (9) Varieties of Democracy (V-Dem) 2020 sebagai asas kepada kedudukan dan skor.

Bagi tahun 2021, Malaysia berada di kedudukan tangga ke- 62 dengan skor

sebanyak 48 poin

Selain daripada rasuah, skop yang termasuk dalam pengiraan CPI ini adalah persepsi terhadap penyalahgunaan dana kerajaan, kebolehan negara untuk kuatkuasakan mekanisma integriti, komitmen kerajaan dalam memerangi rasuah, perlindungan terhadap pendedah maklumat dan buat pertama kali, CPI kali ini juga mengambil kira keberkesanan hak asasi manusia yang tersedia dalam sebuah negara.

SKOR CPI MALAYSIA UNTUK TAHUN 2021

Pada 25hb Januari 2022, Presiden Transparency International, Malaysia, Muhammad Mohan telah mengumumkan skor CPI buat tahun 2021. Malaysia digemparkan dengan keputusan skor yang lebih rendah berbanding skor yang dicapai pada tahun sebelumnya. Adalah diumumkan bahawa Malaysia telah mendapat skor sebanyak 48 dan kini berada di kedudukan tangga 62 daripada 180 negara yang terlibat. Pada tahun 2020, Malaysia telah menerima skor sebanyak 51 poin dengan kedudukan pada tangga 57. Penurunan ini telah merisaukan pelbagai pihak lebih-lebih lagi apabila dibandingkan dengan pencapaian Malaysia pada tahun 2019 di mana Malaysia telah mencapai kenaikan skor CPI yang tertinggi sebanyak 53 poin sambil meraih kedudukan pada tangga 51. Adalah amat mengecewakan untuk melihat Malaysia mengalami tren penurunan skor selama dua tahun secara berturut-turut.

Sekiranya kita melihat tren skor CPI Malaysia sejak tahun 2015, adalah jelas bahawa Skor CPI Malaysia mula mengalami penurunan apabila kes 1MDB telah diketahui oleh khalayak umum. Akan tetapi, pada tahun 2019, skor CPI telah melonjak dengan begitu signifikan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 dan semakin menaik dengan pelancaran Pelan Antirasuah Nasional (NACP). Sekali lagi skor CPI Malaysia menurun selepas berlakunya pertukaran kerajaan pada tahun 2020 dan kini terus menurun di mana CPI Malaysia telah mengalami penurunan sebanyak 5 poin dalam tempoh 3 tahun. Berdasarkan pemerhatian ini, dapat dilihat bahawa ketidaktentuan politik memainkan peranan yang besar dalam memberi kesan terhadap persepsi umum.

Indeks Persepsi Rasuah Malaysia mengambil kira sembilan (9) sumber yang berlainan di mana Malaysia telah mengalami penurunan yang paling signifikan dalam kedudukan World Economic Forum Executive Opinion Survey dan kedudukan dalam IMD World Competitiveness Center World Competitiveness Yearbook Executive Opinion Survey.

Kedua-dua sumber ini lebih menumpukan terhadap pelaburan dalam inovasi, aktiviti ekonomi yang pelbagai, polisi umum yang dapat menyokong ekonomi negara, governans, kualiti infrasturktur dan penggunaan teknologi.

Penurunan sebanyak lapan (8) poin bagi kedua-dua sumber ini menunjukkan bahawa Malaysia perlu lebih berusaha daripada aspek ini untuk menaikkan skor CPI bagi tahun 2022.

Berdasarkan pemerhatian ini, dapat dilihat bahawa ketidaktentuan politik memainkan peranan yang besar dalam memberi kesan terhadap persepsi umum.

SUMBANGAN PENURUNAN SKOR CPI

Terdapat pelbagai alasan yang mungkin menjadi sumbangan terhadap penurunan skor CPI Malaysia pada tahun 2021, tetapi tiada guna sekiranya alasan tersebut dijadikan justifikasi untuk mana-mana pihak menuding jari terhadap pengurusan Kerajaan. Institut Integriti Malaysia (IIM) percaya bahawa pengumuman skor CPI ini boleh menghasilkan sesuatu yang positif di mana melalui pengumuman ini, kerajaan Malaysia akan sentiasa mempunyai peluang untuk menambahbaik aspek tadbir urus dan usaha pencegahan rasuah negara. Selain daripada itu, data yang dikemukakan serta cadangan yang diberikan oleh pelbagai pihak boleh dikumpulkan dan dikaji dengan teliti untuk membuahkan transformasi Malaysia lantas menaikkan skor CPI untuk tahun seterusnya.

Adalah penting untuk IIM bersama rakyat Malaysia meneruskan usaha- usaha dalam pemantapan budaya integriti negara.

Antara inisiatif yang boleh diambil oleh kerajaan Malaysia untuk menghentikan tren penurunan skor CPI Malaysia adalah untuk memastikan segala komitmen dan usaha kerajaan sebelum ini dalam memantapkan integriti serta mencegah perlakuan rasuah diteruskan dan ditambahbaik. Pada tahun 2019, Malaysia telah berjaya mencapai kenaikan skor selepas pelancaran Pelan Antirasuah Negara (NACP) yang merupakan satu-satunya Pelan bertempoh lima (5) tahun yang menumpukan secara spesifik terhadap pencegahan rasuah. NACP tidak boleh dihentikan apabila tamatnya tempoh tahun ke-lima kerana usaha ini perlu diteruskan serta ditambahbaik sambil mengambil kira perubahan-perubahan semasa.

Ketidaktentuan politik adalah sesuatu yang tidak dapat dikawal oleh mana-mana pihak, maka adalah penting untuk IIM bersama rakyat Malaysia meneruskan usaha-usaha dalam pemantapan budaya integriti negara. Skor CPI adalah berpandukan persepsi daripada ahli-ahli responden, maka pengukuran skor ini adalah amat terkesan dengan perkara yang dibincangkan dan disebarkan kepada khalayak umum. Perkara ini perlu diberi tumpuan kerana respon daripada mereka hanya boleh membantu kenaikan CPI Malaysia sekiranya maklumat dikongsikan kepada khalayak umum sambil mengambil kira unsur integriti dan ketelusan. Persepsi responden pasti akan berubah sekiranya mereka menerima maklumat daripada sektor perkhidmatan awam yang dapat dipercayai dan tidak diracuni dengan ketidakpastian. Polisi dan prosedur yang jelas dan tetap dapat membantu dalam memastikan segala perkhidmatan yang disediakan oleh sektor awam adalah konsisten dan dapat mencapai unsur tadbir urus terbaik.

Ketelusan dan integriti perlu diketengahkan dalam pentadbiran sektor awam bagi memastikan persepsi terhadap perkhidmatan sektor awam tidak dilibatkan dengan unsur-unsur rasuah, salah guna kuasa dan kekurangan kompetensi. Bagi memastikan sektor awam dapat mencapai persepsi tersebut, nilai-nilai integriti perlu diterap dalam diri mereka untuk memastikan mereka membangunkan sifat-sifat akauntabiliti dan bertanggungjawab semasa menjalankan tugas mereka. Dengan penerapan sifat-sifat ini, operasi perkhidmatan awam akan lebih lancar dan hasilnya juga akan lebih mantap lantas mewujudkan satu persepsi yang bagus terhadap pentadbiran sektor awam. Pada tahun 2019, selain daripada menjadi badan operasi Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), IIM juga telah dipertanggungjawabkan untuk meningkatkan kapasiti dan kompetensi pegawai di sektor awam dan sektor swasta. Dengan peningkatan kompetensi dan kapasiti pegawai sektor awam, perkara ini secara tidak langsung akan membuahkan persepsi yang bagus dalam kalangan mereka yang berurusan dengan pentadbiran awam. Persepsi ini seterusnya akan memberi kesan positif terhadap kedudukan dan skor CPI Malaysia, kelak.

USAHA DAN RANCANGAN PEMULIHAN DAN PENAMBAHBAIKAN SKOR CPI

IIM percaya bahawa kerajaan akan mempertimbangkan cadangan- cadangan penambahbaikan yang ditawarkan oleh pelbagai pihak selepas pengumuman skor CPI 2021 ini, akan tetapi IIM berharap bahawa segala pelan dan rancangan yang akan dibangunkan juga akan dipantau dan dilaksanakan oleh agensi-agensi yang ditugaskan.

Agensi-agensi kerajaan juga memainkan peranan yang amat besar dalam memastikan skor CPI Malaysia dapat dipulihkan dan ditambahbaik. Selain daripada itu, cantuman usaha daripada aspek integriti dan governans perlu diterapkan dalam mana-mana usahasama dalam kalangan agensi-agensi kerajaan mahu pun swasta. Hala tuju yang dapat membuahkan hasil yang positif buat negara perlu dijadikan motivasi utama dalam pelaksanaan pelan dan rancangan yang akan dibangunkan oleh kerajaan untuk menambahbaik skor CPI Malaysia.

IIM amat berharap semua agensi kerajaan mahupun swasta dapat melaksanakan semua strategi yang digariskan di bawah Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023, yang dilancarkan pada 2019. Negara sudah ada NACP, bermakna sudah ada perancangan yang sistematik dan inklusif untuk menangani sebarang jenayah rasuah. Semua ketua peneraju bersama rakan peneraju dalam NACP perlu memastikan segala objektif di bawah NACP dapat dicapai dan dilaksanakan sebelum ianya berakhir pada penghujung 2023.

Unsur-unsur kebebasan juga perlu diambil kira dalam pembangunan rancangan penambahbaikan skor CPI Malaysia seperti kebebasan agensi-agensi penguatkuasa. Agensi-agensi penguatkuasa adalah jentera terbesar dalam agenda negara memerangi perlakuan rasuah. Maka, mereka memainkan peranan yang tidak boleh dikompromi dan perlu suci daripada sebarang unsur konflik kepentingan dan campur tangan politik.

Persepsi terhadap tahap pengamalan rasuah negara juga banyak terkesan dengan kurangnya semangat untuk mengangkat undang-undang berkaitan tadbir urus terbaik seperti kebebasan agensi penguatkuasa, pendakwaan pelanggaran undang-undang yang adil dan saksama serta pelindungan hak asasi manusia yang sepatutnya layak diberi kepada rakyat negara.

Agensi-agensi penguatkuasa adalah jentera terbesar dalam agenda negara memerangi perlakuan rasuah. Maka, mereka memainkan peranan yang tidak boleh dikompromi dan perlu suci daripada sebarang unsur konflik kepentingan dan campur tangan politik.

Dengan perubahan zaman yang ketara, rakyat kini lebih giat memerhati dan menghakimi kualiti perkhidmatan kerajaan. Maka, adalah amat penting untuk kerajaan Malaysia mula mendengar dan meneliti cadangan serta aduan yang dipanjangkan oleh rakyat supaya perkhidmatan awam kekal relevan dan berkualiti tinggi. Perkara ini akan menjurus kepada pembentukan persepsi yang jauh lebih baik lantas menaikkan skor CPI Malaysia pada tahun-tahun akan datang.

SOKONGAN IIM DALAM USAHA PENAMBAHBAIKAN SKOR CPI MALAYSIA

Kami di IIM akan sentiasa menyokong kerajaan Malaysia dalam segala usaha untuk memantapkan budaya integriti negara, meningkatkan taraf tadbir urus negara serta memerangi gejala rasuah. IIM akan kekal dengan mandat yang diberikan oleh Kerajaan untuk menawarkan produk serta perkhidmatan yang boleh membantu organisasi-organisasi tidak kira daripada sektor awam atau swasta, untuk membangunkan pelan atau sistem dalaman yang dapat membanteras perlakuan rasuah.

Seperti mana kita ketahui penghujung tahun lalu, terdapat pengeluaran pelaburan yang agak signifikan oleh pelabur asing di Bursa Malaysia sehingga peratusan pemilikan saham turun ke tahap terendah dan membimbangkan. Namun, walaupun Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) ada mengumumkan banyak permohonan pelaburan langsung asing (FDI) diluluskan tahun lalu iaitu lebih RM100 bilion, kita bimbang CPI terbaharu ini akan memberi kesan negatif kepada keputusan pelabur untuk terus melabur.

Maka, langkah drastik perlu dilakukan bagi memulihkan stigma dan persepsi ini. IIM juga akan terus menawarkan perkhidmatan menerusi poduk dan perkhidmatan konsultansi, latihan dan penilaian instrumen untuk menerapkan nilai-nilai integriti dan tadbir urus terbaik bagi memastikan Malaysia mempunyai organisasi- organisasi yang mantap dalam pembudayaan integriti serta mengamalkan tadbir urus yang berkesan.

Dengan usaha-usaha ini, IIM sangat mengharapkan pengamalan integriti yang diterapkan dapat membantu menghasilkan persepsi yang lebih baik terhadap perkhidmatan awam dan swasta di Malaysia lantas menaikkan skor CPI pada tahun akan datang.

Sumber: Transparency International, Malaysia