Dr Anis Yusal (kiri) dan Dr Asma menunjukkan MoU yang ditandatangani selepas majlis perasmian Roadshow Integriti 2017 di USM, semalam

GEORGETOWN – Institut Integriti Malaysia (Integriti) akan memperkenalkan Sijil Pematuhan Integriti dan Tanggungjawab Sosial (ISR) dan Sijil Latihan Integriti – dua lagi instrumen bagi meningkatkan usaha memperkukuh amalan dan penghayatan budaya berintegriti tinggi di kalangan semua lapisan masyarakat.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Integriti, Datuk Dr Anis Yusal Yusoff berkata, pihaknya sedang mengambil usaha ke arah itu dengan bantuan pakar-pakar tempatan termasuk sokongan Universiti Sains Malaysia (USM). Katanya, kedua-dua instrumen itu akan dibangunkan dengan mengambil kira aspek sosiobudaya Malaysia.

“Dalam dua tahun lalu, kami bangun sejumlah instrumen untuk tujuan memperkukuhkan amalan berkaitan integriti. Jadi, kami sedang ambil usaha untuk perkenal Sijil Pematuhan Integriti dan Tanggungjawab Sosial.

“Selain itu, Sijil Latihan Integriti juga sedang dikaji. Sijil ini akan pandu kita dari segi pematuhan amalan budaya berintegriti mengikut acuan kita. Kami juga hendak melahirkan kumpulan terlatih bagi tujuan mengendalikan program integriti,” katanya pada program Roadshow Integriti 2017 di Kampus Induk Universiti Sains Malaysia (USM), semalam.

Ia dirasmikan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Farizan Darus.

Katanya, meskipun ada beberapa instrumen serupa di peringkat antarabangsa, tetapi ia tidak mengambil ciri-ciri, demografi dan persekitaran Malaysia.

Dua instrumen itu dijangka akan dapat diperkenalkan pada tahun depan.

“Jadi kami hendak bangun satu ukuran standard ikut acuan kita,” katanya.

“Integriti sudah ada enam produk dan instrumen setakat ini. Kami hendak bangun dua lagi instrumen bagi menawarkan platform lebih menyeluruh,” kata beliau.

Enam produk dan instrumen yang dibangun Integriti iaitu Dashboard Integriti, Integrity Assessment Tools, Malaysian Integrity Profile, Pelan Integriti Organisasi dan Pembangunan Integriti Bersama Komuniti.

Integriti juga membangunkan Modul Integriti Prasekolah (MIPs) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan untuk memupuk nilai integriti di peringkat tadika.

“Roadshow Integriti di Pulau Pinang juga menyaksikan Integriti dan USM menandatangani memorandum persefahaman (MoU),” katanya.

Katanya, perkembangan hari ini juga memperlihatkan masyarakat pelbagai peringkat sudah mula menerima kepentingan membudayakan nilai-nilai berintegriti.

“Ini harapan kami apabila memutuskan untuk mengadakan Roadshow Integriti.

“Setiap persinggahan sepanjang program ini diharap akan memperlihatkan kelainan dari segi penerimaan dan akhirnya mencapai matlamat dan sasaran Pelan Integriti Nasional,” katanya.

Mengulas MoU itu, Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr Asma Ismail menyifatkan ia usaha penting untuk berganding menangani cabaran dan isu berkaitan integriti dan bina strategi lebih mantap demi masyarakat pada masa hadapan.

Sumber: Sinar Harin

http://www.sinarharian.com.my/mobile/semasa/perkenal-sijil-standard-ukur-integriti-1.744180