PUTRAJAYA, 29 JANUARI 2019 – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir bin Mohamad melancarkan Pelan AntiRasuah Nasional (NACP) 2019-2023 hari ini sebagai salah satu inisiatif kerajaan dalam merealisasikan manifesto kerajaan ke arah negara bebas rasuah dan berintegriti.
Bertemakan ‘Memecah Rantaian Rasuah’, NACP merupakan pelan yang dibangunkan khusus untuk dilaksanakan dalam tempoh lima tahun. Pelaksanaan pelan ini dibangunkan oleh Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah, Jabatan Perdana Menteri (GIACC) dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan lain.
Pelan khusus ini dibangunkan bagi menetapkan sasaranyang praktikal berdasarkan inisiatif yang akan diambil oleh setiap agensi kerajaan dan swasta dalam menangani masalah rasuah, integriti dan tadbir urus untuk tempoh lima tahun akan datang.
Perlaksanaan pelan ini dibuat berdasarkan 22 strategi yang akan diberi keutamaan bagi lima sektor utama. Secara ringkasnya, pelan ini mengandungi 115 inisiatif anti rasuah merangkumi enam sektor utama iaitu sektor politik, perolehan awam, penguatkuasaan undang-undang, pentadbiran sektor awam, perundangan dan kehakiman serta tadbir urus korporat.
Ia antara lain dibangunkan bagi menggantikan Pelan Integriti Nasional (PIN) sepertimana yang telah diputuskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) pada 8 Jun 2018 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.
Majlis Pelancaran Pelan AntiRasuah Nasional ini dilakukan oleh Perdana Menteri dengan disaksikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail bin Hj Abu Bakar dan Ketua Pengarah GIACC, Tan Sri Abu Kassim bin Mohamad.
Pelancaran NACP yang diadakan di Putrajaya International Convention Centre (PICC) hari ini turut dihadiri oleh Menteri, Timbalan Menteri, Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan, Wakil Parti Politik, Wakil Kedutaan, NGO dan wakil pertubuhan antarabangsa. Majlis pelancaran ini turut menyaksikan penyerahan buku Pelan AntiRasuah Nasional 2019-2023 oleh Perdana Menteri kepada 22 penerima daripada pelbagai latar belakang antaranya wakil Menteri Pakatan Harapan, Wakil Agensi Kerajaan dan Wakil Pertubuhan Bukan Kerajaan.







