Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi, KPE IIM telah menyampaikan ceramah khas bertajuk “Pembudayaan Integriti dan Cerminan Kualiti Peribadi” bersempena dengan Program Kesedaran Kualiti anjuran Open University Malaysia (OUM) pada 15 Disember 2022 bertempat di Menara OUM, Kelana Jaya.

Antara lain, beliau telah berkongsi dapatan pelbagai kajian berkaitan integriti yang memberi fokus kepada ruang lingkup Pendidikan Tinggi. Selain itu, Datuk Wan Suraya juga telah berkongsi pengalaman beliau berkaitan pengurusan integriti yang menjurus kepada tadbir urus insan dan tadbir urus baik organisasi. Teras integriti dalam total_ _quality management(TQM) juga menjadi salah satu topik yang dihuraikan melalui ceramah tersebut.

Di samping itu, beliau juga telah berkongsi tentang peranan IIM sebagai peneraju inisiatif penerapan dan pemantapan integriti dan tadbir urus dalam negara, termasuk produk latihan yang ditawarkan oleh IIM kepada sektor swasta berhubung Seksyen 17A Akta SPRM serta latihan-latihan pemantapan integriti dan tadbir urus yang dijalankan oleh IIM.

Sesi ceramah telah dihadiri oleh YBrs. Prof. Dr. Ahmad Izanee bin Awang, Presiden dan Naib Canselor OUM; YBhg. Prof Datuk Dr. Mohd Tajuddin bin Md Ninggal, Naib Presiden (Akademik) OUM; pengurusan atasan OUM dan semua warga OUM termasuk 36 cawangan OUM seluruh Malaysia secara maya.

Program diakhiri dengan sesi melafaz Ikrar Integriti oleh semua warga OUM yang diketuai oleh YBhg. Prof Datuk Dr. Mohd Tajuddin serta disaksikan oleh Datuk KPE IIM.