Usaha sama dengan INTEGRITI menerusi Majlis Menandatangani Nota Kerjasama PDRM (Polis Diraja Malaysia) bersama SPRM, Arkib Negara Malaysia dan Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) serta Pelancaran Buku Kod Etika PDRM, Pelan Integriti PDRM 2016-2020 dan Manual Pematuhan Standard PDRM pada 21 Jun yang lepas membabitkan program latihan di samping kajian penyelidikan meliputi kajian keberkesanan untuk melihat hasil program atau aktiviti yang dilaksanakan. Kajian pembangunan juga akan dilakukan dalam membantu meningkatkan integriti dan produktiviti warga pasukan, kata Tan Sri Khalid Abu Bakar, Ketua Polis Negara di Bukit Aman.
Turut hadir ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif INTEGRITI, Dr Anis Yusal Yusoff, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mustaffar Ali dan Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, Azemi Abdul Aziz.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Selasa yang lalu telah melancarkan Pelan Integriti PDRM 2016-2020 bagi memastikan misi mencapai standard perkhidmatan polis bertaraf dunia dapat dilaksanakan sebaiknya.
Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pelan berkenaan merupakan kesinambungan kepada Pelan Integriti PDRM yang terdahulu dan penambahbaikan pelan ini bertujuan memastikan visi dan misi PDRM direalisasikan dalam mencapai matlamat utama PDRM iaitu memberi perkhidmatan kepolisan bertaraf dunia kepada masyarakat.
“Saya akur bahawa integriti adalah satu nilai penting kepada sesebuah organisasi seperti PDRM yang sentiasa berhadapan dengan pelbagai bentuk cabaran.
“Isu integriti bukan semata-mata merujuk kepada isu-isu salah laku atau rasuah tetapi ia turut merangkumi segala amalan positif dalam sesebuah organisasi,” katanya lagi.
Ini turut ditetapkan melalui akronim PRINSIP sebagai yang membawa panduan dalam pembentukan disiplin diri dan erika warga polis secara keseluruhannya.
Beliau menerangkan bahawa P’ bermaksud prihatin dan komited dalam melaksanakan fungsi PDRM bersama masyarakat, ‘R’ bermaksud responsif dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dan ‘IN’ bermaksud integriti sebagai teras perkhidmatan.
“Sementara ‘S’ bermaksud semangat satu pasukan menjadi budaya ke arah mencapai misi dan visi, ‘I’ memberi makna inovasi dan kreatif menjadi amalan dalam meningkat kualiti perkhidmatan serta ‘P’ yang memberi makna profesional ke arah merealisasikan kepolisan moden,” katanya mengakhiri ucapan.
Sumber: http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2016/06/21/pdrm-pelan-integriti/
http://www.astroawani.com/berita-malaysia/pdrm-tetap-akronim-prinsip-dalam-mantapkan-integriti-108862