Istilah tempat kerja pada masa hadapan sedang mengalami gelombang tranformasi yang cukup signifikan dan ianya menjadi topik utama pihak pengurusan atasan sesebuah organisasi. Organisasi terpaksa beralih ke mod ‘bekerja dari rumah’ dalam hampir semua proses pengurusan dan tadbir urus, kesan daripada pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia. Pekerja dan organisasi menghadapi beberapa cabaran yang sukar dalam menggabungkan proses baharu dan mengadaptasi ‘norma’ baharu’ yang bukan bersifat sementara, tetapi kekal. Kebanyakan pekerja menghadapi cabaran untuk terus bermotivasi atau menguruskan tahap tekanan yang boleh mempengaruhi tahap produktiviti sekali gus memberi kesan yang tidak baik terhadap pekerja dan organisasi.

Namun, pelaksanaan BDR menimbulkan banyak persepsi dan persoalan kerana ramai tidak jelas berkaitan konsep ini. Antara persoalan paling banyak diutarakan, sejauh mana nilai kejujuran dalam diri penjawat awam untuk menjalankan amanah dipertanggungjawabkan dalam melaksanakan tugasan ketika BDR.

Tidak dinafikan, ada segelintir penjawat awam menggunakan kesempatan BDR untuk keluar bersantai atau beli-belah di pasar raya. Ada juga kes penjawat awam mengambil kesempatan melakukan pekerjaan luar semasa BDR.

Krisis global yang berterusan ini telah mengajar kita untuk bersikap empati antara satu sama lain. Empati telah menjadi salah satu sifat (traits) yang diperlukan oleh organisasi untuk bertahan dalam masa-masa sukar. Krisis ini juga mempengaruhi tingkah laku individu secara tidak sedar apabila tekanan, proses kerja dan persekitaran kehidupan juga telah berubah. Penilaian tingkah laku individu menjadi proses yang penting dalam memastikan kelangsungan sesebuah organisasi menghadapi isu etika dan integriti pekerja mereka yang bekerja dari rumah.

Seseorang pekerja memerlukan kekuatan yang luar biasa dalam melaksanakan tanggungjawab bekerja dari rumah lebih-lebih lagi apabila perancangan, emosi dan peralatan masih belum tersedia. Sekali lagi nilai-nilai integriti memainkan peranan yang penting dalam mendidik dan membentuk keperibadian seseorang individu berhadapan dengan keadaan ini.

Integriti berpaksikan kepada kepercayaan, nilai, sikap dan seterusnya diterjemahkan dalam bentuk tingkah laku seseorang. Proses pembudayaan ini adalah satu proses yang tidak berlaku semalaman, tetapi memerlukan keyakinan dan ketabahan. Ramai di antara kita percaya bahawa perwatakan dan integriti dapat diubah dan individu boleh diajar untuk menjadi lebih baik. Ia hanya dapat dicapai dengan memahami, menerima kelemahan, dan menghadapi diri mereka sendiri dan orang lain secara membina. Dalam kebanyakan kes, ia memerlukan seseorang untuk belajar menjadi lebih baik daripada diri mereka sekarang. Sudah tentu, gagasan tentang apa yang lebih baik berlaku, kesepakatan tentang kelemahan apa yang berlaku dan bagaimana untuk menghadapi diri sendiri dan orang lain secara konstruktif… betul, itu sangat sukar.

Bak kata pepatah, “kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”, walaupun sukar, seseorang individu hendaklah menanam sikap dan tingkah laku berintegriti dalam semua keadaan. Institut Integriti Malaysia (IIM) percaya bahawa nilai integriti boleh merubah bukan hanya individu, masyarakat malahan sebuah negara. Keupayaan IIM mendepani usaha pembudayaan ini bukan sahaja melalui program, perkongsian ilmu, tetapi juga dengan membangunkan instrumen penilaian integriti individu yang dikenali sebagai Individual Integrity Profile (IIP). IIP menilai kecenderungan individu untuk bertindak dengan berintegriti atau tidak apabila berhadapan dengan isu-isu integriti di tempat kerja mahupun di rumah. Pastinya keterbukaan seseorang individu terhadap konsep penilaian amat diperlukan ketika menduduki dan menerima keputusan penilaian integriti ini.

Penilaian integriti adalah pendekatan preventif yang boleh dilaksanakan oleh organisasi ketika berhadapan dengan pandemik COVID-19 dan cabaran ekonomi semasa. Pengambilan pekerja, pengurusan bakat dan risiko-risiko yang mungkin mendatangkan masalah kepada organisasi dapat dikenal pasti lebih awal dan pemulihan dapat dilakukan segera.

Kesimpulannya, pandemik COVID-19 sangat menguji tahap pengamalan nilai integriti individu dan masyarakat. Ia perlu bermula dalam diri masing-masing untuk membentuk menjadi seorang individu yang berintegriti, walaupun perkara ini bukan suatu perkara yang mudah.

Justeru, kefahaman, penghayatan dan kesedaran kepada nilai positif perlu diterapkan supaya konteks integriti dapat difahami secara keseluruhannya. Ini sekali gus membantu menangani isu berkaitan integriti seperti rasuah, penyelewengan kuasa, pecah amanah dan penipuan.

Dalam konteks istilah dan perspektif universal, maka Islam telah meletakkan komitmen yang teguh terhadap kod etika yang tinggi, khususnya nilai-nilai moral yang baik, iaitu menerusi sistem yang lebih komprehensif kerana konsep Sarwajagat atau world viewnya adalah menyepadukan dunia dan akhirat, fizikal dan spiritual, berpandukan ajaran ALLAH dan Rasul-Nya.

Integriti datangnya dari hati, ianya tidak boleh dipaksa, ianya bukan sesuatu yang baharu dan ianya ada dalam diri setiap daripada kita selagi kita dinamakan insan.

Mohd Rais Ramli

Ketua Seksyen

Seksyen Penilaian Integriti

Institut Integriti Malaysia (IIM)