Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM), YBhg. Datuk Wan Suraya binti Wan Mohd Radzi telah mempengerusikan mesyuarat penyelarasan libat urus IIM bersama dengan perwakilan Unit Integriti dan ahli Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah (ACeiO) Wilayah Utara yang terdiri daripada pelbagai agensi di Pulau Pinang dan Kedah.
Seramai 20 orang pegawai unit integriti telah berkongsi beberapa isu, pengalaman dan inisiatif dalam usaha pemerkasaan pembudayaan dan penghayatan nilai integriti kepada pemegang taruh dalam agensi masing-masing.
Pada sesi perbincangan tersebut, IIM amat berbesar hati menjemput agensi-agensi tersebut untuk menggalakkan penyertaan pemegang taruh masing-masing dalam Anugerah Integriti, Governans dan AntiRasuah 2022 yang telah dilancarkan baru-baru ini.
Sesungguhnya AIGA2022 boleh dijadikan sebagai instrumen penanda aras bagi menguji ketersediaan pelaksanaan ekosistem Integriti setiap agensi.
Perbincangan juga memfokuskan kepada cadangan pihak ACeiO supaya gerak kerja lebih strategik dapat dilaksanakan antara IIM dengan ACeiO di peringkat negeri.
Ini termasuk cadangan supaya IIM membangunkan modul latihan ESG secara rintis dengan beberapa pihak berkepentingan. Disamping itu juga, IIM komited untuk terus menyokong dan menggalakkan penglibatan mahasiswa di bawah program Sekretariat Rakan Integriti Mahasiswa (RIM) dalam program-program IIM yang bersesuaian sebagai langkah memberikan pendedahan kepada golongan muda tentang agenda integriti negara.


