Institut Integriti Malaysia (IIM) telah mengadakan mesyuarat penyelarasan bagi membincangkan status gerak kerja pelaksanaan Inisiatif 6.2.4 di bawah Pelan Antirasuah Nasional (NACP) pada 25 Mac 2022.
Inisiatif ini bertujuan mempromosi, membangun dan menyediakan latihan bagi pelaksanaan Tatacara Mencukupi (Adequate Procedures) selaras dengan Seksyen 17A (Liabiliti Korporat) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) oleh organisasi komersial.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh YBhg Datuk Wan Suraya Binti Wan Mohd Radzi, Ketua Pegawai Eksekutif IIM telah diadakan secara atas talian dan dihadiri oleh wakil-wakil dari Agensi Peneraju Bersama seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), BURSA Malaysia, Institute Corporate Directors Malaysia (ICDM) , Malaysia Institute of Corporate Governance (MICG), SME Corporation, Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, Transparency International Malaysia dan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Johor, Sabah, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.
Mesyuarat telah membincangkan antara lain pembentangan Deraf Pembangunan Modul Seksyen 17A & Tatacara Mencukupi oleh wakil dari Transparency International Malaysia selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Pembangunan Modul, penetapan gerak kerja promosi pelaksanaan program dan sasaran output yang akan dilakukan oleh Jawatankuasa Kerja Pengurusan Projek & Pelaksanaan Latihan yang diketuai oleh ICDM.
Mesyuarat juga bersetuju dengan gerak kerja, status dan output pelaksanaan inisiatif ini supaya ianya dapat dilancarkan pada akhir April atau awal Mei tahun ini bagi mencapai objektif yang telah ditetapkan.

