Institut Integriti Malaysia (IIM) dan Perpustakaan Tun Abdul Razak, Universiti Teknologi Mara (PTAR-UiTM) telah mengadakan perbincangan berhubung cadangan kerjasama antara IIM dan PTAR-UiTM dalam konteks perkongsian pintar pusat ilmu kedua-dua pihak.
Beberapa bentuk kerjasama telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak antaranya perkongsian bahan-bahan rujukan melalui open access discovery. Selain itu, pihak PTAR-UiTM juga bersetuju untuk mengumpul bahan rujukan sedia ada di perpustakaan tersebut yang berfokuskan kepada integriti, etika dan tatakelola serta menyediakan ruangan spesifik untuk subjek berkenaan.
Dalam konteks penerbitan juga, kedua belah pihak bersetuju untuk menjalankan kerjasama bagi menerbitkan bahan-bahan bacaan secara bersama.
Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh YBrs Ts Haji Azizi Hj. Jantan, Ketua Timbalan Pustakawan PTAR-UiTM. Pihak IIM pula diwakili oleh Puan Alice Suriati Mazlan, Ketua Seksyen Komunikasi Korporat.
Mesyuarat tersebut juga turut disertai En. Fison Hamdi Ahmad, Ketua Seksyen Advokasi dan Latihan IIM.


