[:my]Menyemai nilai integriti anak kecil
Roziah Harun
SAYA tertarik dengan tulisan Dr Muhammad Faiz Na’aman bertajuk “Integriti Bermula Dari Sistem Pendidikan”. Seperti yang ditekankan beliau, nilai jati diri jika disematkan sejak kecil lagi dan secara konsisten sepanjang masa, lambat-laun boleh menghasilkan generasi yang punya rasa malu untuk gagal yang menebal, di samping berani menegakkan kebenaran dan bersifat amanah terhadap tanggungjawab diberi.
Berpegang kepada pepatah melentur buluh biarlah dari rebung, Institut Integriti Malaysia (Integriti) telah memulakan inisiatif menyemai benih nilai-nilai integriti melalui sistem pendidikan. Melalui jalinan kerjasama pintar bersama Kementerian Pendidikan, Modul Integriti Prasekolah (MIPs) telah dibangunkan.
Usaha pemupukan nilai-nilai murni dalam kalangan kanak-kanak disemai seawal usia muda tatkala mereka mengikuti kelas prasekolah. MIPs merangkumi set Rancangan Sesi Pengajaran (RSP), 12 naskhah Buku Cerita Integriti dan cakera padat lagu-lagu bertemakan integriti.
Kesemua cerita berkaitan dengan budaya berintegriti yang dihasilkan merupakan hasil nukilan dan garapan ahli jawatankuasa pembangunan modul yang terdiri daripada kumpulan pakar yang mempunyai kepakaran dalam pendidikan awal kanak-kanak.
Demi memastikan MIPs sesuai dan menepati Standard Kurikulum Pendidikan Kebangsaan (KSPK), projek rintis telah dilaksanakan pada tahun 2016/17. Sebelas kelas prasekolah terdiri daripada Sekolah Kebangsaan, Tadika Kemas, Tabika Perpaduan dan Tadika Swasta terlibat dalam projek rintis.
Hasil projek rintis menunjukkan cerita-cerita integriti yang mampu diteladani dan lagu-lagu yang sarat dengan mesej integriti, kanak-kanak mampu menghayati maksud integriti dengan cara yang paling mudah mereka fahami.
Ekoran keputusan menggalakkan projek rintis ini, Integriti telah mengangkat kertas cadangan kepada Kementerian Pendidikan bagi membolehkan MIPs diguna pakai di semua sekolah prasekolah milik kerajaan. Tadika swasta turut digalakkan untuk menyisipkan MIPs dalam proses pembelajaran dan pengajaran mereka demi memastikan keberkesanan usaha membentuk generasi berintegriti tinggi.
Dapatan projek rintis yang dijalankan juga menunjukkan kaedah penceritaan dan nyanyian amat dekat dengan jiwa kanak-kanak. Cerita yang diulang-ulang dan disulami dengan nyanyian serta gerakan kreatif dilihat mampu meninggalkan kesan yang mendalam dalam pembentukan jiwa dan sahsiah kanak-kanak.
Projek rintis menunjukkan terdapat peningkatan dalam penerimaan dan amalan nilai-nilai murni dari sudut integriti. Kajian sebelum dan selepas projek rintis membuktikan ada tanda-tanda penerimaan positif dalam soal amalan nilai-nilai budaya berintegriti.
Guru-guru yang terlibat dalam projek rintis ada berkongsi pandangan bahawa mereka pernah menerima respons daripada ibu bapa yang ‘ditegur’ anak mereka sendiri apabila ada yang melanggar lampu merah semasa memandu. Ada banyak lagi perkara baik dan positif yang dikongsi oleh kumpulan sasaran. Integriti melihat ini satu perkembangan baik dalam jangka panjang di mana nilai-nilai murni boleh dibentuk dari kecil lagi.
Oleh itu, Integriti yakin MIPs akan mendapat sokongan semua pihak bagi melahirkan masyarakat berintegriti tinggi sebagaimana digariskan dalam Pelan Integriti Nasional.
Mengadaptasikan MIPs dalam silibus pendidikan awal kanak-kanak dilihat sebagai langkah yang sistematik dan strategik, merentasi Modul 3R yang diguna pakai dalam pendidikan awal kanak-kanak sekarang.
Melihat kepada siri insiden tidak diingini membabitkan golongan muda, antaranya kes-kes membuli di sekolah, usaha menyemai nilai-nilai murni menggunakan MIPs diyakini akan membantu melahirkan generasi berkualiti dalam jangka panjang. Integriti berharap konsep yang sama boleh diperluaskan di peringkat sekolah rendah, menengah dan pengajian tinggi kelak.
Sesungguhnya pembudayaan integriti adalah usaha berterusan. Memberi fokus kepada kumpulan kanak-kanak sahaja tidak memadai. Si pelentur juga perlu menunjukkan teladan yang baik. Dalam konteks ini, pelentur terdiri daripada kalangan anggota masyarakat, baik guru, ibu bapa dan mereka yang lebih dewasa daripada kumpulan kanak-kanak ini.
Di tangan pelentur juga terletaknya tanggungjawab sebenar proses membentuk generasi Malaysia baharu yang menjunjung nilai integriti dalam kehidupan mereka.
* Roziah Harun Penolong Pengarah Kanan dan Penyelaras Program Institut Integriti Malaysia (Integriti)
Pautan: http://www.sinarharian.com.my/karya/pendapat/menyemai-nilai-integriti-anak-kecil-1.856695
[:]