[:my]
Melestari budaya integriti sektor awam
Hamilye Sham Harun
KEBELAKANGAN ini banyak diperkatakan mengenai isu melibatkan kebertanggungjawaban dan integriti, terutamanya dalam kalangan penjawat awam.
Isu penyalahgunaan kuasa, pembaziran, pecah amanah, rasuah dan penyelewengan serta ketirisan dana awam walaupun dilakukan oleh segelintir penjawat awam, tempiasnya tetap terkena keseluruhan sektor kerajaan.
Bukan kesemua penjawat awam langsung tidak mengamalkan budaya integriti.
Sebaliknya kebanyakan penjawat awam sentiasa mendukung prinsip mengutamakan integriti demi memberi perkhidmatan terbaik dengan sedaya upaya.
Integriti secara umumnya adalah kualiti unggul yang perlu ada pada diri seseorang individu dan organisasi.
Budaya integriti berkait rapat dengan isu-isu etika dan nilai murni.
Integriti penjawat awam memerlukan mereka bertindak jujur dan amanah mengikut bidang kuasa dan tugasnya, telus, tiada konflik peribadi, berwibawa, akauntabiliti serta patuh kepada peraturan dan undang-undang.
Kepentingan meletakkan budaya berintegriti di tahap tertinggi bukan sesuatu yang baharu. Ia menjadi keutamaan dalam hidup kita sepanjang masa.
Amanah atau integriti merupakan salah satu sifat mulia yang dizahirkan oleh Nabi Muhammad SAW. Ajaran untuk bersifat amanah ini sejalan dengan perintah ALLAH di surat An Nisa ayat 58 yang ertinya “sungguh, Allah menyuruhmu menyampaikan amanah kepada orang yang berhak menerimanya dan apabila kamu menetapkan hukum di antara manusia hendaknya kamu menetapkannya dengan adil. Sungguh, ALLAH sebaik-baik yang memberi pengajaran kepadamu. Sungguh, ALLAH Maha Mendengar, Maha Melihat”.
Namun kadangkala apabila berlaku konflik kepentingan, keutamaan haruslah diberikan kepada kelangsungan kepentingan awam.
Maka adalah penting bagi penjawat awam melaksanakan segala amanah dengan sebaiknya supaya tahap kepercayaan rakyat terhadap penjawat awam tidak terjejas sehingga boleh mengganggu kestabilan, keselamatan dan keharmonian negara.
Salah satu aspek yang menjadi keutamaan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada hari ini adalah ‘memperkasa perkhidmatan awam’.
Ia menitikberatkan sektor perkhidmatan awam di mana sebagai tulang belakang pelaksanaan dasar negara. Kita tahu bahawa negara-negara maju mempunyai sektor perkhidmatan awam yang disegani, berfungsi secara profesional demi kepentingan rakyat.
Justeru, sektor perkhidmatan awam mestilah diberi penghormatan yang sewajarnya agar mereka boleh menjalankan tanggungjawab dengan profesional, tanpa tekanan atau ancaman.
Dr Mahathir mengiktiraf bahawa sektor perkhidmatan awam negara pernah dianggap sebagai perkhidmatan awam terbaik di kalangan negara membangun dan rantau ini.
Kepimpinan beliau berazam untuk meletakkan sektor perkhidmatan awam kembali ke tempat yang sewajarnya dengan memastikan pegawai-pegawai kerajaan tidak terlibat atau terpengaruh dengan sentimen politik kepartian dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat, dan tidak terlibat dalam apa jua perbuatan rasuah dan salah guna kuasa.
Di mana budaya berintegriti diutamakan.
Aspek kepercayaan dan penghormatan yang lebih tinggi akan diberikan kepada para pegawai kerajaan yang pastinya lebih arif dan mahir mengenai selok-belok governan dan integiriti pengurusan pentadbiran kerajaan.
Amalan budaya kreatif dan kebolehan berfikir di luar kotak perlu digalakkan agar setiap warga perkhidmatan awam boleh mempertajamkan dan mengaplikasikan kebolehan mereka dalam bidang kepakaran masing-masing, sekali gus memperkukuh amalan budaya berintegriti.
Maka, inisiatif kerajaan menubuhkan Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) diyakini akan bertindak sebagai satu langkah ke depan yang lebih komprehensif dalam melahirkan masyarakat Malaysia berintegriti tinggi.
Di samping menyelaras dan memantau semua aktiviti berkaitan tadbir urus, integriti dan antirasuah, GIACC dilaporkan turut bertanggungjawab untuk merancang, menggubal strategi dan menilai dasar bagi memastikan urusan kerajaan dilaksana berteraskan tadbir urus baik, integriti dan tiada toleransi kepada perbuatan rasuah.
Dilaporkan GIACC juga akan memfokus dalam memastikan 21 janji berkaitan tadbir urus, integriti dan antirasuah yang terdapat dalam manifesto Pakatan Harapan diberi tumpuan khusus untuk dilaksanakan.
Dalam memastikan kelancaran proses pembangunan Malaysia mencapai status negara berintegriti tinggi, berdaya tahan dan mengamalkan nilai murni sejagat, penubuhan GIACC perlu disusuli dengan perubahan minda dalam kalangan penjawat awam supaya tahap pemikiran minda kelas pertama dapat dibentuk.
Tuntutan rakyat terhadap pengurusan governan dan berintegriti harus menjadikan pengurusan penyampaian perkhidmatan awam negara bersatus kelas pertama bagi memenuhi aspirasi rakyat.
GIACC sudah pasti akan menjadi kesinambungan dan pelengkap kepada dasar-dasar perkhidmatan awam dan pendekatan-pendekatan yang diambil Institut Integriti Malaysia, yang menitikberatkan elemen-elemen integriti dan tadbir urus baik.
Bertolak dari itu, dalam konteks kepimpinan yang berintegriti pada hari ini, kita boleh mencontohi kepimpinan Sultan Muhammad Al-Fateh dan tenteranya yang berjaya menakluk Kota Konstantinopel.
Sebenarnya, antara faktor besar yang menyumbang kejayaan tersebut adalah kesepaduan nilai integriti kepimpinan dan nilai integriti sepasukan yang cukup kental.
Ini bertepatan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad iaitu: Mafhumnya: “Berkata Abdullah bin Bisyr al-Khas’amiy daripada bapanya yang telah mendengar Nabi SAW bersabda: Konstantinopel (kini Istanbul) akan di buka (jatuh ke tangan tentera Islam), maka sebaik-baik Raja adalah Rajanya, dan sebaik-baik tentera adalah tentera itu.”
Mesej itu masih relevan pada hari ini. Terdapat beberapa elemen penting yang dapat memperkukuhkan penghayatan dan pembudayaan nilai-nilai integriti dalam kehidupan kita iaitu penjawat awam hendaklah memantapkan pegangan hidup, iman dan menguatkan ketinggian sahsiah keperibadian bagi memastikan terus istiqamah dengan sifat-sifat mahmudah dan integriti dalam diri.
Kedua, rakyat hendaklah menekankan aspek asuhan dan pendidikan yang mempunyai nilai-nilai murni dan berintegriti bermula dari peringkat awal usia lagi dan yang ketiga, penguatkuasaan undang-undang perlu terus dipergiatkan supaya masyarakat sedar akan kemudaratan pengabaian nilai-nilai integriti yang boleh mengancam keselamatan negara.
Bagi mencapai matlamat perkhidmatan awam yang berprestasi tinggi, berintegriti, dinamik dan berjiwa rakyat, empat prinsip dijadikan panduan pelaksanaan transformasi agar perkhidmatan awam kekal relevan iaitu merangkumi keseluruhan sektor awam dan agensi, memberikan impak signifikan, merangkum dan sepunya dan membudaya nilai.
Justeru, bagi melestarikan kelangsungan amalan pembudayaan integiriti dalam perkhidmatan awam, beberapa perkara harus diambil kira dengan penuh iltizam demi memastikan perkhidmatan awam kita bertaraf dunia.
Pertama, mengikhlaskan niat dalam melaksanakan kerja yang dipertanggungjawabkan bagi mendapatkan keredhaan Allah SWT.
Kedua, menjadikan integriti dan amalan tadbir urus sebagai nilai utama dalam pekerjaan dan elemen penting dalam pengurusan organisasi.
Ketiga, meningkatkan iltizam untuk bekerja bersungguh-sungguh bagi memberikan hasil yang berkualiti dan memberi manfaat.
Dan akhir sekali, menjauhkan diri dari sifat-sifat mazmumah seperti menyeleweng, salah guna kuasa, menipu, terlibat dalam rasuah dan sebagainya dalam pekerjaan.
Kini negara berada di persekitaran yang padu bagi mengembalikan kegemilangan perkhidmatan awam dengan meletakkan governan dan integriti di tahap tinggi dalam setiap tindakan penjawat awam.
Sumbangan dan peranan setiap anggota perkhidmatan awam amat penting bagi melestarikan budaya berintegriti.
Hamilye Sham Harun Pengarah dan Ketua Penyelaras Program Koordinasi dan Pemantauan Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI)
Sumber: http://www.sinarharian.com.my/karya/pendapat/melestari-budaya-integriti-sektor-awam-1.850043[:]