Pada 7 Disember yang lalu, satu pertemuan telah berlangsung antara Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mua’amar Ghadafi Jamal Jamaludin dengan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) merangkap Setiausaha Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP), Dr. Anis Yusal Yusoff bagi membincangkan pelbagai permasalahan berkenaan pembiayaan politik.

Antara isu dan cadangan yang diutarakan ialah tentang peruntukan dana politik khas daripada pihak kerajaan kepada parti-parti dan calon bebas yang bertanding, pendidikan literasi politik kepada masyarakat agar memahami peranan sebenar wakil rakyat, penetapan akaun rasmi parti bagi tujuan derma politik, kajian semula dan penambahbaikan akta yang sedia ada bagi mengawal pembiayaan politik dan mobilisasi dana daripada masyarakat awam kepada parti politik.

Menerusi pertemuan tersebut, MBM sempat menyatakan hasratnya untuk menyediakan platform kepada anak-anak muda yang memiliki pelbagai ideologi dan pegangan politik bagi membincangkan isu pembiayaan politik yang berlaku dalam negara.

Justeru, menurut Mua’amar Ghadafi, MBM bersedia memberikan sokongan dan komitmen kepada kerajaan dalam membantu mewujudkan mekanisme pembiayaan politik yang telus dan adil dengan menyalurkan input yang diperoleh daripada kepimpinan belia dan akar umbi kepada JKNMPP.

Pertemuan singkat di Wisma MBM, Cheras itu turut disertai oleh wakil daripada badan-badan gabungan MBM dan sayap pemuda parti-parti politik tanahair.