[:my]KUALA LUMPUR: Mantan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), YBhg Dato’ Wira Dr Ismail Haji Ibrahim dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) berkuat kuasa 6 Mac 2018.
Beliau yang juga mantan Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah bagi satu tempoh selama dua tahun.
YBhg Dato’ Wira Dr Ismail dilahirkan pada 12 Mei 1937 di Kampung Permatang Berangan, Mukim Pinang Tunggal, Sungai Petani, Kedah. Beliau memperoleh Ijazah Sarjana dalam jurusan Pengajian Arab dari Universiti Al-Azhar pada tahun 1963 dan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang yang sama dari Universiti St. Andrews, Scotland pada tahun 1975.
Pengerusi Lembaga Pengarah INTEGRITI, YBhg Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, pelantikan YBhg Dato’ Wira Dr Ismail akan memanfaatkan INTEGRITI yang diberi amanah untuk melaksanakan agenda pemupukan dan penghayatan budaya integriti dalam kalangan rakyat Malaysia.
Saya mengucapkan tahniah dan syabas atas pelantikan YBhg Dato’ Wira Dr Ismail sebagai Ahli Lembaga Pengarah INTEGRITI. Oleh itu, saya yakin YBhg Dato’ Wira Dr Ismail yang mempunyai pengalaman luas dalam perkhidmatan awam, khususnya dalam soal tadbir urus yang baik, dan dalam hal ehwal Islam akan menjadi aset dalam menjayakan agenda meningkatkan budaya berintegriti.
Sebelum ini, YBhg Dato’ Wira Dr Ismail pernah menyandang jawatan sebagai Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, selain sebagai Ahli Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, Ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Harta Suci Sdn. Bhd (Anak Syarikat (MAIWP), Pengerusi Jawatankuasa Agihan Baitul Mal Wilayah Persekutuan, Ahli Jawatankuasa Audit Dewan Bahasa dan Pustaka, dan Yang Dipertua Persatuan Bahasa Arab Malaysia.
YBHG TAN SRI DR ALI HAMSA
KETUA SETIAUSAHA NEGARA
MERANGKAP PENGERUSI LEMBAGA PENGARAH
INSTITUT INTEGRITI MALAYSIA (INTEGRITI)
22 MAC 2018
[:]