Seperti yang tuan-puan sedia maklum, Hari Integriti Nasional disambut setiap tahun pada 5 November sejak diisytiharkan pada tahun 2005. Hari Integriti Nasional diraikan setiap tahun dalam usaha membudayakan integriti dan memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat.

Sukacita dimaklumkan tema Hari Integriti Nasional pada tahun ini ialah “Integriti Pemangkin Keluarga Malaysia”. Tema ini dipilih sebagai menyahut seruan YAB Perdana Menteri Malaysia yang berhasrat untuk menjayakan konsep Keluarga Malaysia dengan menekankan aspek asas keutuhan Negara dan penerapan nilai-nilai murni kearah pemantapan integriti seluruh rakyat Malaysia.

Pemilihan tema ini juga adalah amat signifikan dalam usaha untuk membentuk satu masyarakat yang menghargai kebersamaan dan hidup dalam keadaan aman dan sejahtera serta bersatu-padu dalam mendepani cabaran fasa endemik COVID-19.