YBhg. Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi, Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Integriti Malaysia (IIM) telah menyempurnakan Majlis Perhimpunan Bulanan bagi bulan Ogos 2022 bertemakan Sambutan Bulan Kemerdekaan di Auditorium, Menara IIM pada 26 Ogos 2022.

Pada perhimpunan kali ini, beliau telah berkongsi pelbagai aktiviti yang dilaksanakan IIM sepanjang bulan Ogos 2022 antaranya kejayaan menjalinkan kerjasama strategik bersama UKM untuk membangunkan Program Sijil Profesional Kepimpinan Integriti (SPKI) dan inisiatif membantu pihak AEON Co. untuk membangunkan serta menerapkan elemen integriti di dalam Agenda Kelestarian AEON.

Datuk KPE turut mengingatkan warga IIM untuk sentiasa berintegriti dan berhemah dalam membuat pernyataan awam di laman sosial serta pergiat memperkasakan penggunaan Bahasa Melayu di peringkat pengurusan IIM. Datuk KPE juga menyeru warga IIM untuk mengamalkan prinsip kepentingan “whiter than white” dalam soal integriti, tidak bekerja secara silo serta mengurangkan karenah birokrasi seperti disarankan oleh YAB Perdana Menteri.

Majlis perhimpunan kali ini juga dimeriahkan dengan Pertandingan Pakaian Bertemakan Hari Kemerdekaan: Tahun 1957 anjuran Perpustakaan Integriti IIM. Selain itu, seluruh warga kerja turut membaca Ikrar Integriti Korporat IIM sebagai tanda komitmen dalam melaksanakan tugas dengan penuh integriti.