YBhg. Datuk Nor Yahati Awang, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM) telah menghadiri Majlis Perasmian Sambutan Hari Integriti Nasional 2023 Peringkat Majlis Bandaraya Kuantan pada 7 November 2023 bertempat di Dewan Bandaraya Kompleks Bandaraya Kuantan.
Majlis yang julung kali diadakan ini merupakan inisiatif berterusan bagi membudayakan integriti di samping memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan kakitangan. Ianya juga sejajar dengan gagasan Malaysia Madani yang memperihalkan kerangka ikhtiar bagi mengembalikan martabat negara melalui teras pembangunan nilai, etika dan akhlak masyarakat.
MBK telah membuktikan selaku organisasi yang komited dalam usaha pembudayaan integriti apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Emas dalam Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA 2022) dan Anugerah Perak semasa AIGA 2020. YH. Dato’ Razihan Adzharuddin, Datuk Bandar Kuantan juga dalam ucapannya menegaskan bahawa adalah penting untuk warga MBK sentiasa pastikan tiada urusan berkepentingan, tiada unsur salah guna kuasa, berakauntabiliti serta sentiasa patuh kepada peraturan dalam menjalankan tugasan seharian.
Majlis ini telah dirasmikan oleh YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang; dan hadir sama YBhg. Ketua Penolong Kanan Pesuruhjaya Hairuzam Mohamad Amin@ Hamim, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Pahang serta Pengurusan Tertinggi IIM.



