[:my]KUALA LUMPUR, 21 Mac 2018: “Bertemu dan berpisah, adat manusia biasa.” Ungkapan ini tidak asing lagi bagi mengiringi mereka yang berpisah. Hampir tiga tahun mengemudi Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) memang sukar untuk mengucapkan salam perpisahan kepada YBhg Datuk Dr. Anis Yusal Yusoff. Namun perpisahan bukan bererti pengakhiran.

Majlis Penghargaan dan Jasamu Dikenang bagi meraikan sumbangan dan khidmat beliau diadakan di Menara INTEGRITI di sini, petang ini.

YBhg Datuk Dr. Anis Yusal mengakhiri tempoh perkhidmatan beliau sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif INTEGRITI apabila dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara (JITN) berkuat kuasa 12 Mac lalu.

Dalam ucapan ringkasnya, YBhg Datuk Dr. Anis Yusal berkata, beliau bangga atas kerjasama padu dan semangat dedikasi yang telah diperlihatkan oleh seluruh warga INTEGRITI sepanjang dua tahun dan sembilan bulan beliau mengetuai INTEGRITI.

“Saya berharap INTEGRITI akan terus terbang tinggi untuk mencapai amanah yang diletakkan,” kata beliau yang berkhidmat selama tiga tahun sebagai pengarah sebelum menjadi Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif INTEGRITI.

Beliau juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada Lembaga Pengarah yang telah memberi nasihat dan panduan dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab sepanjang masa berada di INTEGRITI.

Turut hadir pada majlis hari ini ialah Pengerusi Lembaga Pengarah INTEGRITI, Tan Sri Dr. Ali Hamsa, yang juga Ketua Setiausaha Negara, dan ahli-ahli Lembaga Pengarah iaitu Tan Sri Dr. Madinah Mohamad, Tan Sri Zainal Rahim Seman, Tan Sri Dato’  Seri Ranjit Ajit Singh, Tan Sri Datuk Amar (Dr) Hamid Bugo, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Ahmad dan Dato’ Wira Dr. Ismail Haji Ibrahim dan seluruh warga kerja INTEGRITI.

 

 [:]