Majlis Pelancaran Program Pembangunan Integriti Bersama Komuniti atau Community Integrity Building (CIB) yang berlangsung hari ini, 3 Julai 2022, telah disempurnakan oleh YB Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hassan, Timbalan Premier Sarawak serta disaksikan oleh YB Dato’ Henry Sum Agong, Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Lawas, YB Dato’ Murshid DiRaja Dr. Juanda Jaya, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) dan YBhg. Datuk Wan Suraya Binti Wan Mohd Radzi, Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Integriti Malaysia (IIM).
IIM kini sedang bekerjasama dengan Kerajaan Premier Sarawak dalam membina dan membangunkan pelbagai instrumen dan kaedah bersesuaian ke arah mewujudkan budaya tadbir urus yang baik, berintegriti tinggi dan antirasuah. Di antara instrumen dan sistem yang telah diadaptasi oleh beberapa agensi di Sarawak adalah Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS), Pengurusan Risiko Rasuah (CRM), Pelan Antirasuah Organisasi (OACP), Program Latihan Integriti dan Etika (E&I) dan yang terbaharu adalah Program Pembangunan Integriti Bersama Komuniti (CIB).
Program rintis yang dibangunkan oleh IIM bersama pihak Unit Integriti dan Ombudsman Negeri (UNION), Jabatan Premier Sarawak merupakan sebuah mekanisme pendekatan holistik yang berteraskan kepada konteks tempatan dalam membantu mengenal pasti kaedah penyelesaian bersesuaian bagi meningkatkan pembudayaan dan amalan integriti dalam penyampaian infrastruktur dan perkhidmatan awam, khususnya yang melibatkan pihak Berkuasa Tempatan (PBT); Pembekal Perkhidmatan; dan Komuniti Tempatan.
Program ini merupakan kesinambungan daripada kejayaan pelaksanaan Program CIB 1.0 pada tahun 2016 yang telah berjaya dilaksanakan di beberapa buah negeri yang melibatkan PBT iaitu Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT).
Pelancaran program CIB kali ini yang bermula di negeri Sarawak dilihat berupaya memberi impak positif kepada komuniti setempat khususnya dalam memperkukuhkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam serta memperkasakan sistem pemantauan yang lebih inklusif dalam aspek integriti dan tadbir urus dalam komuniti.
Program ini akan dilaksanakan mulai bulan Julai 2022 bersama dengan pihak UNION, Jabatan Premier Sarawak di mana gerak kerja pelaksanaannya akan bermula di empat (4) residensi terpilih di Sarawak iaitu Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Majlis Daerah Limbang (MDL) dan Majlis Daerah Matu-Daro (MDMD). Kejayaan program rintis ini seterusnya diharap akan dapat diteruskan dan diperkembangkan kepada kawasan-kawasan PBT lain di seluruh Malaysia.









