YBhg. Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi, Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Integriti Malaysia (IIM) telah menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Kesedaran Pembangunan Integriti Bersama Komuniti (CIB) untuk Sesi Ke-2 di peringkat Residensi Sibu pada hari ini, 2 Oktober 2022.

Turut sama dalam majlis ini ialah YBhg. Tuan Desmond Douglas Jerukan, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (KPKT); YBrs. Tuan Hj Adana Hj Jed, Pengarah Unit Integriti Dan Ombudsman Sarawak (UNIONS); YBhg. Cr. Bujang Hj Abdul Hamid, Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS); dan YBrs. Hon Ing Chu, Pemangku Setiausaha MPS.

Program CIB di MPS yang bermula sejak 18 Ogos 2022 lalu telah berjaya menyelesaikan 20 kes aduan hasil penglibatan aktif Jawatan Kuasa Khas CIB (Pemantau) dan komuniti setempat dalam menyalurkan aduan kepada saluran CIB melalui Joint Working Group (JWG) CIB yang dilantik oleh IIM dan MPS.

Aduan yang diterima juga secara tidak langsung membantu pihak kontraktor, penyedia atau pembekal perkhidmatan dalam usaha meningkatkan amalan integriti diperingkat penyampaian perkhidmatan serta mengenalpasti tindakan penyelesaian yang perlu dilaksanakan seperti mana dalam Service Licensing Agreement (SLA).

Pada majlis sama turut diadakan simbolik peletakan papan tanda Program CIB di Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Bahagia sebagai usaha meningkatkan kesedaran masyarakat dari segi tanggungjawab, pengetahuan dan sikap ambil peduli dengan isu-isu di kawasan perumahan setempat.

CIB merupakan program rintis baharu yang dibangunkan oleh IIM bersama pihak UNIONS sejak bulan Julai 2022 yang berteraskan kepada konteks tempatan dalam membantu mengenal pasti kaedah penyelesaian terbaik dan bersesuaian bagi meningkatkan pembudayaan dan amalan integriti dalam komuniti setempat, khususnya yang melibatkan pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu Majlis Perbandaran Sibu (MPS); Pembekal Perkhidmatan (Kontraktor); dan Komuniti Tempatan itu sendiri.