Majlis Pelancaran Modul Integriti Penguat Kuasa (MIP) yang berlangsung hari ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Sri Mohd Shafiq Abdullah, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam merangkap Ahli Lembaga Pengarah, Institut Integriti Malaysia (IIM).

Teras pembangunan MIP adalah untuk meningkatkan kefahaman, penghayatan dan pembudayaan pegawai penguat kuasa di negara ini mengenai pemantapan penerapan dan pengamalan nilai-nilai murni integriti dan tadbir urus yang baik dalam jentera pentadbiran Kerajaan.

Menurut YBhg Dato’ Sri Mohd Shafiq, MIP yang diusahakan dan dibangunkan oleh IIM ini dapat menjadi nilai tambah bagi membantu membudayakan integriti dalam kalangan pegawai penguat kuasa di negara ini. Seterusnya, dapat memperkasakan lagi landskap ekosistem integriti negara yang kini sedang dimantapkan oleh Kerajaan dengan lebih jayanya.

Hadir sama ke majlis ini adalah YBhg. Tan Sri Dr. Ismail Haji Ibrahim dan YBhg. Dato’ Sri Akhbar bin Abdul Sata @ Satar yang merupakan ahli-ahli Lembaga Pengarah IIM. Turut hadir, YBhg Datuk Seri Norazlan Mohd. Razali, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Seramai lebih 100 peserta yang terdiri daripada Ketua-ketua Jabatan dan agensi di sektor awam dan swasta juga turut hadir ke majlis pelancaran tersebut.