Majlis Pelancaran Manual Latihan Seksyen 17A Akta SPRM 2009 dan Tatacara Mencukupi telah disempurnakan oleh YBhg. Tan Sri Datuk Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali, Pengerusi SIRIM Bhd merangkap Ahli Lembaga Pengarah, Institut Integriti Malaysia (IIM) pada 24 Jun 2022.

Manual Latihan Seksyen 17A Akta SPRM 2009 dan Tatacara Mencukupi merupakan komitmen IIM bersama rakan-rakan peneraju yang terdiri daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Institute of Corporate Directors Malaysia (ICDM), Malaysian Institute of Corporate Governance (MICG), Bursa Malaysia, SME Corporation Malaysia (SME Corp.), Transparency International Malaysia (TI-M), serta Agensi Kerajaan Negeri yang berkaitan dalam mempromosi, membangun dan menyediakan latihan bagi pelaksanaan Tatacara Mencukupi, selaras dengan Seksyen 17A (5) (Liabiliti Korporat), Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) oleh organisasi komersial.

Seiring dengan aspirasi yang digariskan dalam Pelan Antirasuah Nasional (NACP) dan peranan IIM sebagai peneraju utama pembudayaan nilai-nilai integriti, Manual Latihan Seksyen 17A Akta SPRM 2009 dan Tatacara Mencukupi ini mengandungi garis panduan untuk membantu organisasi komersial memahami kaedah pelaksanaan tatacara mencukupi bagi mencegah berlakunya rasuah yang berkaitan dengan aktiviti perniagaan.

Satu forum perbincangan mengenai kepentingan Seksyen 17A dalam memperkukuhkan sistem pengurusan kawalan dalaman berkaitan pencegahan rasuah dalam organisasi, penguatkuasaan Seksyen 17A dalam memerangi jenayah rasuah serta kesedaran kelompok perusahaan kecil dan sederhana (SME) berkaitan Seksyen 17A juga telah diadakan terdiri daripada wakil daripada TI-M, SPRM dan SSM.

Maklumat berkenaan Manual Latihan Seksyen 17A Akta SPRM 2009 dan Tatacara Mencukupi boleh diakses menerusi laman sesawang http://latihans17atm.www.iim.gov.my/