Majlis Pelancaran Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA 2022) telah diadakan pada 17 Mei 2022, bertempat di Putrajaya. Pelancaran AIGA 2022 telah disempurnakan oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali, Ketua Setiausaha Negara yang juga merangkap Pengerusi Institut Integriti Malaysia (IIM).
AIGA 2022 adalah anugerah yang memberikan pengiktirafan dan penghargaan kepada sektor awam dan swasta yang menzahirkan komitmen dan kebertanggungjawaban dalam usaha memperkasakan pembudayaan dan pengamalan integriti, tadbir urus terbaik serta inisiatif antirasuah dalam organisasi masing-masing.
Penganjuran AIGA tahun ini di peringkat kebangsaan merupakan lanjutan kepada AIGA 2020 yang telah julung kali diadakan pada 26 Oktober 2021 di peringkat negeri Pahang, anjuran IIM bersama dengan rakan strategiknya iaitu Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang dan Yayasan Pahang.
Hadir sama ke majlis ini adalah YBhg. Datuk Seri Mohd Syafiq Abdullah, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), YBhg Datuk Seri Mohd Sallehhuddin Bin Hassan, Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) dan Ahli-ahli Lembaga Pengarah IIM. Seramai lebih 200 peserta yang terdiri daripada Ketua-ketua Jabatan dan agensi di sektor awam dan swasta telah hadir ke majlis pelancaran pagi tadi.
Penyertaan AIGA kini dibuka kepada semua agensi awam dan swasta samaada Badan Penuh Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri, Badan Separa Kerajaan atau Badan Swasta. Maklumat lanjut berkaitan pendaftaran dan sebagainya boleh layari laman sesawang di www.aiga.my






