Institut Integriti Malaysia (IIM) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Institut Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) bagi merealisasikan kerjasama strategik dalam pembudayaan agenda Integriti dan Governans bagi pengamal-pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH).
Ketua Pegawai Eksekutif IIM, YBhg. Datuk Wan Suraya binti Wan Mohd Radzi mewakili IIM menandatangani MoU tersebut manakala NIOSH pula diwakili oleh Pengarah Eksekutif NIOSH, YBrs. Tuan Haji Ayop bin Salleh dan yang disaksikan oleh Ahli Pengurusan Tertinggi IIM dan NIOSH.
Pada majlis ini, turut berlangsung Program Breakfast Talk bertajuk “Kepentingan Integriti dalam konteks Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH): Hala Tuju Bersama”. Program santai ini membicarakan pelbagai aspek ruang lingkup OSH, antaranya inisiatif memperkasa kemampanan dan kelestarian di tempat kerja selain usaha membentuk ekosistem kehidupan berintegriti, berprinsip dan bebas dari rasuah.
Penganjuran majlis MoU dan program Breakfast Talk ini telah dihadiri seramai 60 orang peserta yang terdiri daripada warga kerja NIOSH, pengamal-pengamal OSH dan Ahli Pengurusan Tertinggi IIM.







