Institut Integriti Malaysia (IIM) dan Affin Bank Berhad (AFFIN BANK) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada 10 Februari 2023 bertempat di Dewan Murni, IIM. MoU ini bagi menjalin kerjasama strategik merangkumi perkhidmatan konsultasi, penyelidikan dan program advokasi serta latihan di dalam usaha memupuk nilai-nilai integriti dan amalan tata kelola terbaik terutama di kalangan komuniti Perusahaan Kecil & Sederhana (PKS).

Ketua Pegawai Eksekutif IIM, YBhg. Datuk Wan Suraya binti Wan Mohd Radzi mewakili IIM bagi menandatangani MoU tersebut manakala AFFIN BANK diwakili oleh Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank Berhad, YBhg. Datuk Wan Razly Abdullah. Majlis turut disaksikan oleh YBhg. Dato’ Yeow Wah Chin, Ahli Lembaga Pengarah IIM dan YBrs. Encik Tan Lai Hock, Pemangku Pengarah Eksekutif, Perbankan Perusahaan Affin Bank Berhad.

Pada majlis ini juga, turut berlangsung Program Breakfast Talk bertajuk “Doing Business with Integrity”. Program ini membicarakan tentang pengurusan tata kelola terbaik serta amalan antirasuah dalam komuniti PKS. Program ini menampilkan ahli-ahli panel terdiri daripada YBhg. Dato’ Yeow Wah Chin, Ahli Lembaga Pengarah IIM, Puan Geetha Kandiah daripada KASS International dan Puan Mandy Yeoh daripada Pertiwi Oligo Sdn Bhd.

Penganjuran majlis MoU dan program Breakfast Talk ini telah dihadiri seramai 100 orang peserta yang terdiri daripada PKS dan pegawai-pegawai AFFIN BANK serta Ahli Pengurusan Tertinggi IIM.