Majlis Apresiasi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) Bersama Dengan Agensi Penguatkuasaan Seliaan telah berlangsung pada 1 April 2022, bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa (PICC), Putrajaya.

Majlis Apresiasi ini diadakan bersempena dengan sambutan ulang tahun EAIC yang ke-11, sejak penubuhannya pada 1 April 2011 yang lalu. Dalam majlis ini juga EAIC telah merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan strategik iaitu Institut Integriti Malaysia (IIM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Peguam Negara, Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC), serta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM).

YBhg. Tan Sri Mohd Sidek Hassan, Pengerusi EAIC, dalam ucapannya menekankan bahawa isu kepincangan integriti bukan isu individu atau isu dalaman organisasi, tetapi merupakan isu bersama. Ucap beliau lagi, untuk membina negara berintegriti dan bebas rasuah semua pihak sama ada awam dan swasta perlu memainkan peranan masing-masing. Masyarakat Malaysia perlu dididik dengan budaya membenci perbuatan rasuah dan menjunjung tinggi budaya integriti.

IIM merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada EAIC atas penganjuran majlis ini. IIM juga berharap agar lebih banyak kerjasama strategik dapat dilaksanakan dalam usaha bersama menjayakan agenda pembudayaan integriti masyarakat Malaysia.