YBhg. Datuk KPE bersama 50 orang pegawai IIM telah menghadiri Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-18 (MAPPA XVIII) bertemakan “Penjawat Awam Tonggak Aspirasi Keluarga Malaysia” di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan juga secara maya pada 30 Ogos 2022.
Pada perhimpunan ini, YAB Perdana Menteri telah menyampaikan amanat beliau kepada seluruh anggota perkhidmatan awam. Antaranya beliau mengumumkan enam (6) inisiatif baharu sebagai penghargaan Kerajaan terhadap pengorbanan penjawat awam yang sentiasa memastikan jentera kerajaan bergerak dengan berkesan, melaksanakan dasar dan menjayakan setiap aspirasi kerajaan.
Inisiatif ini juga diharap mampu menyuntik semangat buat seluruh penjawat awam untuk meningkatkan aspek penyampaian perkhidmatan serta memberikan komitmen yang jitu dalam memastikan kesejahteraan negara berteraskan prinsip kebersamaan, keterangkuman serta kesyukuran.
Turut hadir YBhg Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Setiausaha Negara (KSN) merangkap Pengerusi IIM dan YBhg. Dato’ Sri Mohd Shafiq Abdullah, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) yang juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah IIM.



