YBhg. Datuk Wan Suraya binti Wan Mohd Radzi, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM) telah mengadakan lawatan kerja libat urus dan kunjungan hormat ke atas YB Dato’ DiRaja Dr. Juanda Jaya, Timbalan Menteri, Unit Integriti dan Ombudsman Negeri (UNION), Jabatan Premier Sarawak, pada 15 Jun 2022.
Ini merupakan kunjungan balas, setelah IIM menerima kunjungan YB Dato’ DiRaja Dr. Juanda ke IIM pada 16 Mac 2022.
Kunjungan IIM kali ini adalah untuk memperhalusi lagi pelbagai bentuk kerjasama strategik yang telah disepakati pada bulan Mac yang lalu. Antaranya berkenaan pelaksanaan Projek Rintis Community Integrity Building (CIB) IIM yang akan melibatkan empat (4) kawasan PBT di Sarawak iaitu Dewan Bandaraya Kuching Utara, Majlis Perbandaran Sibu, Majlis Daerah Limbang dan Majlis Daerah Matu-Daro. Projek CIB merupakan satu pendekatan akauntabiliti sosial yang akan dapat membantu mengenal pasti dan melaksanakan penyelesaian bersesuaian bagi meningkatkan tahap integriti komuniti dan persekitaran.
Selain itu, IIM juga menggalakkan penyertaan syarikat-syarikat Sarawak dalam penganjuran Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) 2022 Peringkat Kebangsaan. Kerajaan Negeri Sarawak merupakan rakan penganjur bersama bagi AIGA 2022.
Dalam kesempatan ini juga, KPE IIM turut menjelaskan tentang mandat, peranan dan fungsi baharu IIM yang turut memfokuskan kepada program-program advokasi dan libat urus berkaitan integriti dan tadbir urus.
Turut sama dalam sesi ini ialah YBrs. Tuan Haji Adana Bin Haji Jed, Pengarah Unit Integriti dan Ombudsman Negeri, Jabatan Premier Sarawak.



