Institut Integriti Malaysia (IIM) telah menerima lawatan daripada delegasi Youth Leadership Programme (YLP) 2022 pada 22 Disember 2022.
Lawatan ke IIM yang diketuai oleh Cik Yang Leaphea, Pengurus Program Transparency International (TI) Cambodia diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada warga belia khususnya pelajar wanita Kemboja tentang pemerkasaan integriti dan tata kelola baik yang telah dilaksanakan di Malaysia.
YLP 2022 merupakan program anjuran bersama TI Cambodia dan ActionAid Cambodia. Delegasi program ini terdiri daripada lima orang wakil TI Cambodia, seorang wakil ActionAid Cambodia dan 13 warga belia yang telah terpilih daripada tujuh wilayah di negara tersebut bagi mengikuti program YLP 2022.
Delegasi tersebut telah disambut oleh Pengurus Besar Kanan (Khidmat Korporat) IIM, Encik Mahummar Gaddafi Sorilaut Omar yang telah menyampaikan ucapan aluan. Manakala taklimat tentang fungsi, peranan, hala tuju dan perkhidmatan IIM telah disampaikan oleh Ketua Seksyen Perhubungan Antarabangsa dan Libat Urus, Puan Rajesh Krishnan.






