Institut Integriti Malaysia (IIM) telah selesai melaksanakan latihan Seksyen 17A Akta SPRM (Liabiliti Korporat) dan Tatacara Mencukupi kepada Fujifilm Business Innovation Asia Pacific Pte Ltd pada 23 Februari 2023 bertempat di Pejabat Fujifilm, Axis Business Park.
Sesi ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada warga kerja Syarikat tersebut berkenaan elemen anti rasuah di bawah peruntukan Seksyen 17A Akta SPRM (Liabiliti Korporat) serta keperluan Garis Panduan Tatacara Mencukupi sebagai rujukan kepada organisasi komersial bagi memperkukuhkan mekanisme kawalan di peringkat organisasi.
Latihan ini telah dihadiri oleh seramai 19 peserta yang terdiri daripada pengurusan atasan dan wakil-wakil setiap bahagian Fujifilm. Turut hadir adalah Presiden Fujifilm Business Innovation Asia Pte. Ltd, Encik Mark Tan Yi Chun.
Sesi latihan ini telah dikendalikan oleh Konsultan IIM, Encik Mazwane Musa dan Puan Nurul Fadzliyanie Mohd Razif dari Seksyen Pengurusan Integriti IIM.

