YBhg. Datuk Nor Yahati Awang, Ketua Pegawai Eksekutif IIM telah mengetuai kunjungan hormat ke Pejabat YB Tuan Mustapha @ Mohd Yunus Sakmud, Timbalan Menteri Sumber Manusia pada 25 September 2023 bertempat di Kementerian Sumber Manusia, Kompleks Setia Perkasa, Putrajaya.
Perjumpaan ini diadakan bertujuan untuk membincangkan cadangan dan hasrat menandatangani Memorandum Kerjasama antara Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Institut Integriti Malaysia (IIM). Antara kerjasama yang dicadangkan adalah penganjuran beberapa program berimpak tinggi seperti aktiviti Bulan Integriti Nasional pada November 2023, Persidangan Sumber Manusia dan juga penyelidikan berkenaan tahap integriti di kalangan majikan.
Selain daripada itu, IIM juga menawarkan beberapa produk seperti pelaksanaan latihan terhadap agensi penguatkuasaan menggunakan Modul Integriti Penguatkuasa (MIP) dan penilaian psikometrik bagi melihat kecenderungan integriti individu.
Mengiringi kunjungan hormat ini adalah Encik Mahummar Gadaffi Sorilaut Omar, Pengurus Besar Kanan, Bahagian Khidmat Korporat, Encik Izal Arif Zahrudin, Pengurus Besar Kanan (T) Bahagian Operasi, Puan Alice Suriati Mazlan, Ketua Seksyen Komunikasi Strategik, Encik Mohd Rais Ramli, Ketua Seksyen Program Bitara dan Komuniti, Encik Zubayry Abady Sofian, Ketua Seksyen Perancangan dan Strategik Korporat dan Puan Nadzeerah Abdullah, Pegawai Tugas-tugas Khas kepada KPE IIM.
Pegawai yang turut hadir dari KSM pula terdiri daripada YBhg. Dato’ Hajah Norison Binti Ramli, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi), Puan Siti Syakimah Binti Ibrahim, Peguam Kanan Persekutuan, Muhammad Azlan Bin Muhamad Fazil, Penolong Setiausaha dan Ahmad Farid Bin Sainuri, Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Timbalan Menteri.





