YBhg. Datuk Wan Suraya binti Wan Mohd. Radzi, Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Integriti Malaysia (IIM) telah mengadakan kunjungan hormat ke atas YBhg. Tan Sri Mohd. Sidek Hj. Hassan, Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) di Putrajaya pada 30 Mei 2022.
Kunjungan hormat ini antara lain bagi memberi maklum balas terkini kepada pihak EAIC mengenai cadangan halatuju baharu IIM sebagai peneraju agenda integriti nasional.
EAIC mempunyai 21 agensi penguatkuasaan di bawah pengawasannya. Sehubungan itu, IIM telah menggalakkan penyertaan agensi penguatkuasaan di bawah seliaan EAIC untuk menggunapakai Modul Integriti Penguatkuasa (MIP) yang sedang dimuktamadkan oleh IIM untuk pelancaran pada akhir bulan Jun 2022. Modul ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran, kefahaman dan penghayatan nilai integriti dalam kalangan pegawai penguatkuasa di negara ini.
Turut hadir dalam perbincangan ini adalah Pn. Norhayati Binti Ahmad, Setiausaha EAIC. Manakala delegasi IIM turut disertai oleh Tn. Hj. Hamilye Sham Harun, Pengurus Besar Kanan, Bahagian Operasi dan Encik Harisham Ibrahim, Ketua Seksyen Perancangan Strategik.



