Institut Integriti Malaysia (IIM) telah menerima kunjungan hormat dari Unit Integriti dan Ombudsman Negeri (UNION), Jabatan Ketua Menteri Sarawak. Delegasi seramai 20 orang pegawai kanan UNION ini diketuai oleh Yang Berhormat Dato’ Murshid Diraja Dr. Juanda Jaya, Timbalan Menteri Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman).
Antara hasrat utama sesi kunjungan hormat ini adalah untuk mendapat khidmat nasihat dan konsultasi dari IIM berkaitan inisiatif semakan Pelan Integriti dan Antirasuah Organisasi (OACP), Jabatan Premier Sarawak yang telah dibangunkan pada 2019 yang lalu.
Di samping itu, delegasi Sarawak ini juga berhasrat untuk melaksanakan beberapa inisiatif tambahan seperti pelaksanaan Individual Integrity Profile (IIP), Integrity Assessment Tool (IAT), Community Integrity Building (CIB) serta beberapa lagi program yang bersesuaian yang boleh dilaksanakan di peringkat negeri Sarawak.
Pihak UNION juga menyuarakan hasrat untuk membangunkan Modul Khas Pembudayaan Integriti untuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Sarawak dengan bantuan kepakaran yang ada di IIM.
Di kesempatan itu juga, YBhg. Datuk Wan Suraya, Ketua Pegawai Eksekutif IIM telah menerangkan beberapa program utama yang akan dilaksanakan oleh IIM pada tahun 2022 antaranya ialah Anugerah Integriti, Governans dan Anti Rasuah (AIGA2022) dan pihak UNION juga telah menyatakan persetujuan untuk menyertainya di peringkat negeri Sarawak.
Sesi dialog ini juga telah menghasilkan beberapa bentuk kerjasama yang secara langsung akan meningkatkan tahap integriti negara, khususnya bagi negeri Sarawak.
#InstitutIntegritiMalaysia
#Ombudsman
#JabatanPremierSarawak
#IntegritiDiHati





