YBhg. Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM) telah menerima kunjungan hormat dari YBrs. Tuan Abdul Haris Bin Haji Lakar, Ketua Pengarah, Perbadanan Harta Intelek (MyIPO) pada hari ini, 24 Mei 2022.
Delegasi MyIPO turut disertai oleh beberapa pegawai kanannya iaitu En. Azrul Shahreen bin Abdul Aziz (Bhg. Undang-undang), En. Abdul Manap Bin Ali (Ketua Audit Dalam) dan En. Mohd Nor Hafiz Bin Abd. Munir (Ketua Bahagian Integriti).
IIM dan MyIPO telah membincangkan beberapa cadangan kerjasama termasuk menawarkan kepakaran IIM untuk membantu meningkatkan tahap integriti dan governans pegawai-pegawai MyIPO yang bertugas di seluruh negara. IIM juga sedang mengkaji keperluan mendaftar produk-produknya terus dengan MyIPO bagi perlindungan harta intelek.
Moga kerjasama yang dibina akan dapat membantu kedua-dua organisasi mencapai matlamat dan objektif masing-masing disamping memantapkan budaya integriti dalam kalangan warga IIM dan MyIPO.



