YBhg. Datuk Wan Suraya binti Wan Mohd Radzi , Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Integriti Malaysia (IIM) telah menerima kunjungan hormat dari YBrs. Prof Madya Dr. Muhammad Hakimi Mohd Shafiai, Timbalan Dekan (Jaringan dan Alumni), Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 4 Ogos 2022.

Sesi kunjungan hormat ini merupakan susulan kepada sesi lawatan pihak UKM ke IIM pada 13 April 2022 yang lepas untuk memuktamadkan cadangan kerjasama antara IIM dan UKM untuk membangunkan Program Sijil Profesional Kepimpinan Integriti (SPKI).

Usahasama antara IIM dan UKM ini merupakan kesinambungan daripada memorandum persefahaman yang sudah termeterai antara IIM dan UKM sejak dari tahun 2018 lagi.

Program persijilan ini kelak akan menjadi penanda aras baharu IIM dalam konteks pendidikan dan advokasi berteraskan integriti dan tadbir urus terbaik. Ianya dijangka akan dilancarkan pada bulan November 2022 dan bakal ditawarkan bagi kohort pertama pada awal 2023.

Selain itu, kedua-dua pihak juga mencapai persetujuan untuk meluaskan lagi bentuk kerjasama antara IIM dan UKM bukan sahaja dalam bidang pendidikan malah merangkumi bidang penyelidikan, penerbitan dan juga penyertaan bersama dalam program-program IIM dan UKM.

Turut hadir dalam perbincangan tersebut ialah pegawai-pegawai dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM serta beberapa orang pegawai kanan IIM.