Pelan Integriti Nasional (PIN) yang dilancarkan pada 23 April 2004, merupakan satu langkah bagi memastikan integriti menjadi komponen penting dalam budaya Malaysia. Selaras dengan objektif PIN, Konvensyen Integriti Nasional (KIN) dianjurkan oleh Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) setiap tahun sebagai platform bagi membincangkan agenda integriti negara.

Konvensyen julung kali telah diadakan pada tahun 2006, dan tema tahun ini “Memperkukuh Integriti Korporat: Atas Bawah dan Semua Peringkat”, menekankan keperluan integriti digerakkan dari kepimpinan atas ke peringkat bawah. KIP 2017 dianjurkan dengan kerjasama PETRONAS.

KIN adalah platform untuk para peserta konvensyen membincangkan dan bertukar pandangan mengenai integriti, etika korporat dan aspek tadbir urus serta menyebarkan idea-idea yang akan membantu mengukuhkan nilai integriti dalam masyarakat Malaysia.

KIN 2017 dibahagikan kepada tiga segmen iaitu Ucaptama, Sesi Paralel dan Perbincangan Meja Bulat. Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad, Tan Sri Abdul Wahid Omar menyampaikan ucaptama manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Paul Low Seng Kuan menyempurnakan majlis penutup.

Dalam ucaptamanya, Tan Sri Wahid berkongsi harapannya agar setiap orang dan pihak akan memainkan peranan masing-masing, bukan sahaja menjadikan integriti sebagai salah satu prinsip dan nilai teras, tetapi juga meletakkan integriti dalam bentuk tindakan.

“Ini bermakna, antara lain memilih pemimpin yang tepat untuk pertubuhan masing-masing, memastikan integriti rekod dan penyata kewangan, memastikan tidak melakukan rasuah dengan membayar sogokan untuk mendapatkan kontrak atau pertolongan dan mengetengahkan apabila melihat perbuatan-perbuatan tidak jujur.

“Saya percaya jika kita memainkan peranan masing-masing, ke bawah dan di semua peringkat, kita semua boleh bergerak ke arah melahirkan masyarakat kurang jenayah, kurang rasuah dan inklusif,” kata beliau pada KIN 2017 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Beliau juga berkata, “dengan semangat Negaraku dan Rukun Negara, marilah kita semua merenung apa yang telah kita capai bersama dan bahagian-bahagian yang kemungkinan kita tidak bertindak dengan baik.”

“Saya tahu kita tidak sempurna dan ada banyak perkara yang kita perlukan untuk memperbaiki (kedudukan kita). Tetapi kita harus bangga bahawa negara kita juga telah maju dalam banyak peringkat.”

Tan Sri Wahid juga berkata “toleransi sifar terhadap rasuah mesti bermula dengan kita semua, penjawat awam dan korporat.”

“Bagi pemantauan antirasuah seperti ini, adalah penting  kedua-dua pemberi dan penerima rasuah dikenakan tindakan dan dihukum. Rasuah akan berterusan selagi ada pihak yang bersedia untuk membayar bagi mendapatkan kontrak dan faedah yang menguntungkan mereka.

“(Oleh itu) masa sudah tiba bagi perkhidmatan awam dan korporat Malaysia mengatakan tidak kepada rasuah,” kata beliau.

Dalam pada itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif INTEGRITI, Datuk Dr. Anis Yusal Yusoff berkata KIN merupakan satu cara untuk membincangkan perkara-perkara mengenai integriti, etika perniagaan dan tadbir urus, terutamanya membabitkan sektor swasta dan korporat.

“Mesyuarat tahun lepas memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan integriti dan tadbir urus dalam meningkatkan imej perkhidmatan awam.

“Sebagai pendekatan yang berterusan, tahun ini, kami memberi tumpuan kepada sektor swasta kerana ia adalah satu lagi komponen penting dalam pembinaan negara. Dan, kerjasama antara INTEGRITI dan PETRONAS merupakan satu gambaran di mana semua pihak perlu dan boleh bekerjasama untuk meningkatkan budaya integriti dalam masyarakat kita,” katanya.

Menurut Datuk Dr Anis Yusal: “Pendek kata, kami menggunakan konvensyen kebangsaan sebagai platform untuk membincangkan banyak isu yang berkaitan dengan etika, integriti dan tadbir urus yang baik dengan pelbagai kumpulan sasaran, dari kalangan belia, sektor awam dan swasta.”

“Dari PICC (Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya) ke KLCC, kami telah berpeluang menggunakan konvensyen ini sebagai tempat bagi kami untuk mencari penyelesaian berdasarkan amalan terbaik yang dikongsi semasa pembentangan dan perbincangan,” katanya.

Bagi pihak INTEGRITI, Datuk Dr Anis Yusal mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memainkan peranan dalam menjayakan konvensyen tahun ini terutamanya PETRONAS atas sokongan berharga mereka.

Pada konvensyen tahun ini, Modul Integriti Kursus Industri Pembinaan telah dilancarkan oleh Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali.