Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) dengan kerjasama Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengadakan program Breakfast Talk INTEGRITI di bawah topik Kelestarian Keamanan: Perspektif Integriti di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) hari ini.

Bertepatan dengan tema program kali ini, sempena Hari Keamanan Sedunia yang disambut pada 21 September, program hari ini diadakan dengan tujuan untuk berkongsi pengalaman dan pandangan mengenai isu-isu berkaitan usaha memastikan kelangsungan keamanan negara dari dari sudut integriti dalam perkhidmatan awam. Ini kerana aspek keamanan dan keselamatan negara adalah sangat penting dan tiada kompromi dalam memastikan kepentingan rakyat dan negara sentiasa terpelihara.

Justeru, ahli panel program kali ini terdiri daripada YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi Harun, Ketua Polis Negara; YBhg. Dato’ Seri Mustafar Ali, Ketua Pengarah Imigresen Malaysia dan YBhg. Jeneral Tan Sri Dato Seri Panglima Zulkifli Zainal Abidin, Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia. YBhg. Datuk Dr. Anis Yusal Yusoff, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif INTEGRITI bertindak sebagai moderator program.

Turut hadir YBhg Tan Sri Dato’ Sri Noor Rashid Ibrahim, Timbalan Ketua Polis Negara.

Program Breakfast Talk INTEGRITI merupakan salah satu daripada siri program yang dianjurkan oleh INTEGRITI sepanjang tahun. Lazimnya ia memfokuskan kepada pelbagai isu integriti dalam negara.

Berkongi pandangan, YBhg. Tan Sri Mohamad Fuzi, yang menerajui PDRM sejak bulan September 2017 berkata, “sebagai Ketua Polis Negara, saya amat komited dalam memastikan prinsip integriti menjadi tunjang kepada budaya kerja di dalam pasukan polis.”

Oleh itu tegas YBhg. Tan Sri Mohamad Fuzi, “tiada toleransi terhadap sebarang bentuk perlakuan rasuah dan juga salah laku di kalangan warga PDRM akan dijunjung tinggi dan diteruskan.”

“Sesungguhnya PDRM tidak sesekali mengamalkan blue wall of silence dalam berhadapan dengan elemen-elemen negatif dalam pasukan polis,” kata beliau.

YBhg. Tan Sri Mohamad Fuzi juga memberitahu, selaku Ketua Polis Negara beliau akan memberi tumpuan ke atas empat aspek dalam usaha memelihara integriti dan memulihkan imej PDRM di mata masyarakat. Empat aspek itu adalah penghayatan kepada konsep ‘back to basic’, memelihara integriti dan menghindari rasuah, memerangi judi, jenayah bersindiket dan gengsterism, dan memperkasakan ‘intelligence-led policing’.

Beliau juga menekankan yang PDRM akan menjalin kerjasama padu dengan INTEGRITI bagi mencapai sasaran dan objektif tersebut.

Dalam pada itu, YBhg Datuk Dr Anis berkata pendekatan-pendekatan seperti program Breakfast Talk yang diadkaan hari ini merupakan peluang kepada INTEGRITI dan agensi-agensi terbabit termasuk PDRM, memahami dan menghalusi isu-isu yang berkaitan dengan integriti secara mendalam.

Dengan itu kata beliau, INTEGRITI akan mengambil langkah-langkah susulan seperti sesi perbincangan lanjut dan melakukan kajian empirikal bagi mengemukakan cadangan-cadangan dan syor menerusi kertas dasar kepada Kerajaan.

“Apa yang kita bincangkan dalam sesi seperti ini merupakan satu peluang yang baik bagi mencari penyelesaian secara ilmiah dan empirikal. Setiap agensi mempunyai ciri-ciri masalah yang berbeza. Jadi kita perlu menjurus kepada setiap isu dengan fakta dan kajian,” kata beliau sambil menambah, INTEGRITI ada instrumen seperti Integrity Assessment Tool, Malaysian Integrity Profiling, Integrity Intervention Plan, Monitoring Dashboard dan Community Integrity Building yang boleh digunakan bagi memupuku nilai-nilai integriti.

“INTEGRITI telah menjalin kerjasama degan PDRM ke arah pemupukan budaya berintegriti, termasuklah menyediakan instrumen-instrumen ini bagi tujuan tersebut,” kata beliau.

Kata beliau, INTEGRITI mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada PDRM terutama YBhg. Tan Sri Mohamad Fuzi kerana memberi kerjasama padu bagi menjayakan program kali ini di PULAPOL. Kerjasama ini membuktikan bahawa usaha memupuk nilai-nilai integriti memerlukan kerjasama dua hala dan sokongan semua pihak.

Sementara itu, YBhg. Dato’ Seri Mustafar berkata, aspek pembinaan modal insan sangat penting dalam usaha meningkatkan budaya berintegriti.

“Jika insan (pekerja) kita adalah baik, maka kita boleh membina sistem yang kukuh dan padu, di mana secara tidak langsung akan membantu mengurangkan isu-isu berkaitan integriti, rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.

YBhg. Jeneral Tan Sri Zulkifli berpandangan kelestarian keamanan hanya akan dicapai jika setiap individu melakukan apa yang dituntut oleh ajaran agama.

“Pada akhirnya kalau kita tidak ikut ajaran agama, ia akan membawa kepada isu dan masalah. Pada akhirnya, kita perlu berpegang kepada ajaran agama. Kita perlu ada sikap tidak berkompromi dengan nilai-nilai integriti,” kata beliau.

Untuk maklumat lanjut boleh menghubungi Dr G Manimaran, Pengarah Program Komunikasi, Pusat Komunikasi, Program Bitara & Antarabangsa di talian 012-3081355 atau 03-62092050.