Keselamatan dan kebajikan ketika menjalankan tugas merupakan elemen yang amat penting dalam memastikan integriti para penguatkuasa sentiasa berada pada tahap tertinggi.
Menyedari akan hakikat ini, Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) telah menganjurkan satu sesi diskusi bertajuk ‘Dasar Keselamatan dan Kebajikan Pegawai Penguatkuasa Semasa Menjalankan Tugas’ pada 21 Januari 2016 bertempat di Dewan Murni, Menara Integriti.
Program ini menampilkan Timbalan Ketua Setiausaha (Kawalan dan Oleh Harisham Ibrahim dan Azni Husairi Penguatkuasaan) Kementerian Dalam Negeri, Dato’ Suriani Dato’ Ahmad, sebagai pembicara utama, sementara panel-panel lain ialah mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Tan Sri Hj. Hassan dan Pengarah Bahagian Keselamatan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), KPKPj Alias Salim. Selain itu, ia turut dihadiri oleh wakil-wakil agensi penguatkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kastam, Imigresen, Jabatan Alam Sekitar dan pihak berkuasa tempatan.
Ketika berucap, Dato’ Suriani menegaskan bahawa perkongsian maklumat dan kerjasama khususnya melibatkan kementerian dan agensi perlu
disubur, dilaksana dan diperkukuhkan. Ini penting bagi memastikan maklumat yang diterima tepat, sekali gus melicinkan pelaksanaan penguatkuasaan. Sementara itu, Tan Sri Musa memberitahu bahawa penyaluran maklumat secara berintegriti amat penting.
Ini bagi membolehkan para penguatkuasa melaksanakan tugas masing-masing dengan efisien, selamat dan berintegriti.
Selain kerjasama dan perkongsian maklumat, KPKPj Alias menekankan keperluan mewujudkan insurans berkelompok. Hal ini penting agar penguatkuasa rasa terbela daripada aspek kebajikan.
Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif INTEGRITI, Dr. Anis Yusal Yusoff, hasil perbincangan berkenaan bakal diterjemahkan dalam bentuk kertas cadangan dasar. Malahan, beliau turut menyuarakan hasrat mengadakan penyelidikan berkaitan isu berkenaan pada masa akan datang supaya hasil daripadanya dapat dimanfaatkan oleh semua pihak.