[:my]KUALA LUMPUR, 27 September 2018 – Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub mahu aspek integriti dititikberatkan bagi mengelakkan sektor awam dicemari dengan insiden-insiden penjawat awam terlibat dalam penyalahgunaan kuasa, rasuah dan sebagainya.
“Warga Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang berintegriti hendaklah sentiasa berpegang kepada konsep kejujuran.
“Ini bermakna kita perlu sentiasa jujur dalam mentadbir dasar-dasar, program-program serta projek-projek Kerajaan, sentiasa ikhlas dalam memberikan nasihat dan pendapat, tidak menyembunyikan sebarang maklumat penting dan mustahal yang boleh menjejaskan prestasi Kementerian, Jabatan dan agensi masing-masing,” kata beliau.
Datuk Salahuddin berkata demikian dalam amanat beliau sempena program Breakfast Talk INTEGRITI anjuran bersama Kementerian dan Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) di sini, hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian MOA, Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan.
Sempena program hari ini, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melancarkan Sistem Aduan Integriti MOA (E-Sart) sebagai saluran bagi warga Kementerian dan orang ramai menyampaikan maklumat atau aduan berkaitan perlakuan jenayah rasuah atau pelanggaran tatakelakuan.
Menurut Datuk Salahuddin, ancaman integriti ke atas sesebuah organisasi berpunca daripada individu dalam organisasi itu sendiri. Ia seterusnya melibatkan ahli-ahli lain yang merosakkan identiti organisasi kerajaan.
Katanya, lazimnya, ancaman ini mempunyai hubung kait yang erat dengan isu etika dan integriti.
Beliau berkata, menerusi E-Sart, setiap aduan akan diproses, diteliti dan dinilai sebelum tindakan selanjutnya diambil.
“Sekiranya aduan tersebut berunsur jenayah rasuah, maklumat tersebut akan disalurkan segera ke sistem teras operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tujuan siasatan selanjutnya.
Selain itu, Forum Integriti bertajuk “Jernih Air Di Muara” turut diadakan yang menampilkan YBhg Dato’ Sri Ayob Yaakob, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia; YBhg Dato’ Akhbar Satar, Presiden Transparency International Malaysia dan YBrs Ustaz Pahrol Mohamad Juoi, Pengarah Urusan Fitrah Perkasa Sdn Bhd sebagai panel pembincang. Forum ini turut memperlihatkan Tuan Haji Hamilye Sham Harun, Pengarah Pusat Koordinasi & Pemantauan sebagai moderator.