
TANGGAL 5 November setiap tahun ditetapkan sebagai sambutan Hari Integriti Nasional. Sejak 2005, ia disambut bersempena penggubalan Pelan Integriti Nasional (PIN) dan penubuhan Institut Integriti Malaysia (IIM). Integriti Pemangkin Keluarga Malaysia dipilih sebagai tema Hari Integriti Nasional ke-16 tahun ini.
Pemilihan tema adalah selari dengan konsep Keluarga Malaysia diperkenalkan oleh Perdana Menteri yang mengajak seluruh rakyat tanpa mengira kaum mahupun budaya, agama, dan fahaman politik bersama bersepakat serta bersatu untuk membangunkan negara. Secara konseptualnya, Keluarga Malaysia mengambil kira asas keutuhan negara terikat erat dengan kesepaduan nilai-nilai didikan sempurna dalam sesebuah keluarga serta sifatnya yang lebih inklusif dan merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum.
Tambahan pula, pemantapan institusi keluarga adalah asas kepada sesebuah negara yang sejahtera. Perdana Menteri turut menekankan perpaduan rakyat berbilang kaum, agama dan bangsa selain integrasi nasional silang budaya serta merentasi ideologi politik adalah tunjang kekuatan Malaysia. Semangat juang kebersamaan, kebersatuan dan keakraban Keluarga Malaysia perlu diperkukuhkan untuk terus menjunjung utuh integrasi perpaduan masyarakat.
Pemilihan tema Integriti Pemangkin Keluarga Malaysia adalah amat tepat memandangkan ia adalah nilai pertama yang dinyatakan dalam 20 pengkayaan nilai di bawah aspek inklusiviti konsep Keluarga Malaysia, iaitu menyemai budaya integriti dalam keluarga.
Dalam menghayati sambutan Hari Integriti Nasional, nilai integriti adalah amat penting dalam pengukuhan asas moral masyarakat. Bagi sesebuah organisasi pula, mewujudkan budaya integriti adalah asas kepada kejayaan dan kecemerlangan organisasi tersebut.
Program-program pemantapan integriti dalam organisasi perlu diperkasakan bagi memupuk budaya kerja beretika yang sekali gus akan meningkatkan tadbir urus baik, mengurangkan kes salah laku dan rasuah khususnya. Dalam jangka masa panjang, tidak mustahil isu ketirisan dana awam juga dapat dibendung jika integriti dijadikan pemangkin dalam kita melaksanakan apa jua tugasan yang telah diamanahkan.
Semangat Keluarga Malaysia perlu digenggam erat oleh perkhidmatan awam negara sebagai konsep penting dalam mengusahakan inisiatif pemulihan semula ekonomi negara dalam fasa endemik ini. Dalam menuju penstrukturan semula ekonomi negara dan pemerkasaan penyampaian perkhidmatan awam, adalah amat penting untuk Keluarga Malaysia berusaha meningkatkan kesejahteraan, keselamatan dan ketenteraman negara.
Semua agensi sama ada sektor kerajaan ataupun korporat disaran bersama-sama menyambut Hari Integriti Nasional melalui penganjuran program dalaman dan aktiviti sepanjang bulan ini yang secara tidak langsung turut mempromosikan konsep Keluarga Malaysia.
INTEGRITI, RMK12
Mengenai Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang dilancarkan baru-baru ini, nilai integriti kerap kali dinyatakan dalam Bab 13 – Memperkukuh Penyampaian Perkhidmatan Sektor Awam. Walaupun banyak inisiatif telah dilaksanakan dalam RMK11, namun isu berkaitan integriti masih lagi berlaku. Oleh yang demikian, usaha pemantapan integriti tetap diteruskan dalam RMK12, antaranya melalui Strategi B3: Memperkukuh Ekosistem Tadbir Urus ke arah Mendukung Integriti, Ketelusan dan Keberkecualian pada Semua Peringkat.
Usaha mendukung integriti dan membanteras rasuah terus dipertingkat bagi menambah baik kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan awam. Dalam hubungan ini, semua agensi kerajaan akan melaksanakan Pelan Antirasuah Organisasi seperti digariskan di bawah Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) untuk menangani isu tadbir urus, integriti dan rasuah.
Penguatkuasaan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) akan terus dipertingkat, manakala libat urus melalui perkongsian strategik dengan pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan parti politik akan diperkukuh dalam membanteras rasuah. Rang undang-undang baharu berkaitan Ombudsman Malaysia juga akan diperkenalkan bagi meningkatkan integriti dan tadbir urus institusi awam.
Penggunaan standard Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS) akan dipergiat bagi mengurangkan risiko rasuah dan meningkatkan kepercayaan dalam kalangan pihak berkepentingan. Standard ini akan meningkatkan pematuhan piawaian yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dan amalan terbaik antirasuah. Tambahan pula, dalam menggalakkan integriti dan memelihara kedaulatan negara, penjawat awam dikehendaki menjaga kerahsiaan dalam menangani dokumen rahsia dan penyebaran maklumat serta berpegang pada aku janji di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.
Indeks Tadbir Urus Malaysia akan diperkenalkan bagi meningkatkan persepsi baik rakyat terhadap kerajaan, seterusnya menambah baik kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI).
IIM menyambut baik usaha ini dan akan melaksanakannya dengan kerjasama agensi-agensi lain.
KIN2021
IIM akan menganjurkan Konvensyen Integriti Nasional 2021 (KIN2021) dengan tema Integriti Keluarga Malaysia dalam Menghadapi Endemik pada 9 November ini.
Pengisian konvensyen adalah Forum Integriti Keluarga Malaysia dalam Menghadapi Endemik: Cabaran dan Ketersediaan Kita dan empat bengkel yang selari bertemakan pendidikan, kesihatan, ekonomi dan sosial, diakhiri dengan pembentangan resolusi.
Tema kali ini amat bersesuaian dengan cabaran dan perubahan yang bakal dihadapi dalam fasa endemik oleh seluruh masyarakat tidak lama lagi. Kesemua inisiatif ini menjadi aspek utama dalam usaha membina semula kehidupan di fasa baharu.
Agensi kerajaan, badan korporat dan sektor swasta juga perlu meneruskan segala usaha pemantapan integriti dan tadbir urus. Ini kerana keterlibatan semua pihak sangat kritikal dalam memastikan pengamalan budaya integriti dapat dijayakan dengan sempurna. Usaha menambah baik sistem pengurusan dalaman organisasi dan mengadakan program dan aktiviti bertemakan integriti, etika dan tadbir urus baik bukan sekadar setiap tahun pada Hari Integriti Nasional, namun perlu berterusan dilaksanakan oleh setiap organisasi.
Selamat menyambut Hari Integriti Nasional 2021.
TAN Sri Mohd. Zuki Ali ialah Pengerusi Institut Integriti Malaysia (IIM).